CACAT PENGLIHATAN BUKAN PENGHALANG DUA BERADIK JEJAK KAKI KE UNIVERSITI
USM, PULAU PINANG, 28 Ogos 2016 - Dilahirkan cacat penglihatan, dua beradik, Felicia Pui Jia Yin, 21 dan Andrea Pui Jia Hui, 20, tidak pernah merasa satu kekurangan sebaliknya menjadikannya sebagai pendorong untuk mencapai kejayaan cemerlang di universiti.
Kedua-dua beradik ini merupakan pelajar baharu bagi sidang akademik 2016/2017 Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) (Bahasa Inggeris untuk Profesional).
Bagi Felicia, ujian yang dihadapinya merupakan takdir hidup yang diterima dengan tenang dan tidak menjadikannya sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan dalam akademik mahu pun masa hadapannya.
"Kekurangan ini menjadikan saya lebih kuat dan saya tidak mahu mengalah kerana mahu berjaya seperti mana insan yang lain," tambah Felicia.
Tambahnya, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan menyumbang bakti dalam mendidik masyarakat sekaligus membuktikan kekurangan yang ada pada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) bukan penghalang kepada mereka untuk meraih kejayaan di peringkat tertinggi.
Sementara itu, adiknya Andrea berkata, kekurangan itu menjadi cabaran untuk berjaya malah motivasi terbaik kepadanya.
“Saya memilih USM kerana kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU selain berdekatan dengan rumah," kata anak kelahiran Miri, Sarawak ini.
Mereka ditemui ketika sidang media khas pendaftaran pelajar baharu USM yang dipengerusikan oleh wakil Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 7880