KEMPEN DERMA DARAH SEMPENA KEMERDEKAAN
KOTA BHARU, 26 Ogos 2016 - Unit Perubatan Transfusi Hospital USM dengan kerjasama AEON MALL dan Kelab Youth Movement Malaysia & Persatuan Jurujual Kelantan mengadakan Kempen Derma Darah yang berlangsung di Pasaraya AEON MALL sempena Hari Kebangsaan.
Program ini disokong oleh tiga kelab kereta utama di Kelantan iaitu My Alza Owner Club Kelantan (MAOC), Kelab Kebajikan Pemilik Wira Negeri Kelantan (WOCC) dan Kelab Exora Owners Club Malaysia (EOCM).
Pegawai Perubatan, Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Dr. Amran Abd Wahab menyifatkan kerjasama ini merupakan langkah baik untuk menggalakkan masyarakat menderma darah dan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan membantu pesakit.
"Ini adalah usaha murni ahli-ahli kelab kereta yang datang beramai-ramai ke sini selain pengunjung pasaraya yang turut sama menderma darah dan pihak hospital USM amat berterima kasih serta menyanjung tinggi kerjasama yang diberikan," jelasnya.
Ahli Jawatankuasa Kelab MAOC, Abdul Ruslan Azizan yang juga pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Kota Bharu berkata golongan muda perlu didedahkan dengan program kebajikan sebegini sebagai tanggung jawab sosial yang perlu dilakukan berterusan.
Seramai 50 orang ahli kelab kereta tampil bersama keluarga untuk menderma darah.
Sebanyak 123 pain darah telah diperoleh.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1120