NAIB CANSELOR SERU PPSL USM BERSATU SERTA BERSEMANGAT WAJA
USM, PULAU PINANG, 26 Ogos 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menyeru semua Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) untuk bersatu serta bersemangat waja dalam setiap apa yang dilakukan dan menerapkannya kepada para pelajar baharu yang akan mendaftar pada 28 Ogos ini.
Naib Canselor berkata demikian kepada lebih 160 orang PPSL dari Kampus Induk dan Kejuruteraan sebagai amanat sebelum mereka bersama-sama menjadi pemudahcara kepada Minggu Siswa Lestari iaitu minggu suaikenal pelajar baharu kemasukan sidang akademik 2016/2017 nanti.
“Saya berharap penghakupayaan yang diberikan kepada pelajar dapat menjadikan medan untuk semua pelajar Universiti APEX untuk menunjukkan kepimpinan yang baik serta berjiwa patriotik bersempena sambutan hari kebangsaan ke-59 tahun ini,” kata Omar.
Menurut Purawin Subramaniam yang telah menjadi PPSL bagi tahun kedua, banyak perubahan dan penambahbaikan dirancang pada tahun ini khususnya di Kampus Kejuruteraan bagi keselesaan dan kemudahan pelajar.
“Pada tahun ini, perancangan pelaksanaan Program Siswa Lestari lebih tersusun dengan adanya lebih ramai tenaga kerja PPSL terutamanya di Kampus Kejuruteraan,” katanya yang juga pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.
Bagi Noraisah Zakariya, pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Sains Matematik pengalaman berharga berkerjasama menyelesaikan puzzle tanpa bersuara adalah pengalaman manis yang beliau lalui semasa kem PPSL di salah sebuah kem Kuala Kangsar, Perak.
“Apa yang saya boleh kata, pengalaman ini mengajar saya untuk bekerjasama dengan rakan sekeliling di samping melahirkan rasa patriotik dengan menyelesaikan gambar bendera pada puzzle tersebut,” tambah Noraisah.
Harapan Lai Chun Wei, pelajar tahun dua Pusat Pengajian Pengurusan dan pertama kali menjadi PPSL, adalah supaya program Siswa Lestari akan berjalan dengan lancar dan sempurna, dan berharap para pelajar baharu menikmati pengalaman di kampus ini.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Che Mahmood serta dekan-dekan dan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 982