JALIN ‘CINTA’ DENGAN BIDANG TUGAS
PULAU PINANG, 25 Ogos 2016 – Golongan pekerja walau dalam apa jua sektor dinasihatkan untuk cuba ‘mencintai’ bidang tugas bagi memastikan amanah yang dipikul dapat dibuat dengan sepenuh hati dan istiqamah.
Bakal Pesara Universiti Sains Malaysia (USM), Husin Yahaya berkata, kecintaan terhadap bidang tugas akan membuatkan seseorang menzahirkan komitmen luar biasa terhadap bidang tugas mereka.
“Rahsia saya bertahan bersama USM dalam tempoh 32 tahun perkhidmatan adalah dengan mencintai kerja saya. Ia seterusnya jadi satu hobi dan dengan itu saya tidak kisah menghabiskan masa di USM walau bila dan di mana saya diperlukan.
“Kita juga sebaiknya perlu menyemai sikap ‘passion’ dalam kerja dan tidak terperangkap dengan perasaan dengki atau irihati terhadap rakan setugas atau orang-orang di sekeliling kita,” katanya.
Timbalan Pendaftar di Jabatan Pendaftar yang bakal mengakhiri tugasnya pada 1 September depan itu berkata demikian ketika menghadiri Majlis Jasamu Dikenang bagi meraikan 13 pesara skim N (Pegawai Tadbir) tahun 2016 anjuran Bahagian Sumber Manusia, di sini kelmarin.
Majlis serba ringkas namun bermakna itu dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Timbalan-timbalan Naib Canselor serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Tambah Hussin, banyak kenangan terpahat sepanjang bertugas di lebih 13 pusat tanggungjawab dan hanya yang manis akan dikenang, termasuk dipertemukan jodoh dan dianugerahkan anak-anak ketika berkhidmat untuk USM.
“Seperkara lagi yang ingin dikongsi adalah rasa hormat kami terhadap rakan sekerja. Kami sentiasa menyanjung tinggi kepakaran dan kehebatan rakan dan itu antara rahsia kami dapat bekerjasama dalam tempoh yang lama tanpa ada sebarang masalah,” katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1211