USM SEDIA PELUANG KEPADA STAF TINGKATKAN TARAF PENDIDIKAN – WEI YIN
USM PULAU PINANG, 25 Ogos 2016 – “Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa membuka peluang kepada setiap stafnya untuk meningkatkan lagi taraf pendidikan supaya dapat berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
Demikian jelas pesara USM, Lee Wei Yin, 60, yang bersara tetap pada Februari tahun ini.
Katanya, peluang dapat berkhidmat di sebuah institusi pendidikan memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi sekaligus dapat meningkatkan taraf pendidikannya walaupun pada permulaan kariernya sebagai seorang jurutaip.
“Saya mula berkhidmat pada Jun 1975 di Unit Teknologi Pendidikan (kini dikenali sebagai Pusat Teknologi Pendidikan dan Multimedia). Semasa bertugas di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan saya ada impian untuk menjawat jawatan lebih tinggi dan atas dorongan mantan dekan Dr. Mustapa Kassim maka saya pun mendaftar untuk mengikuti pengajian jarak jauh di peringkat ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam bidang Antropologi Sosiologi pada tahun 2001. Pada tahun 2011, saya dilantik sebagai Pegawai Tadbir,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jasamu Dikenang Pegawai Tadbir USM 2016.
Seramai 13 orang Pegawai Tadbir yang bersara pada tahun 2016 diraikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan isteri di sini, semalam.
Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal bersama isteri masing-masing.
Tambah Wei Yin lagi, walaupun sudah bergelar pegawai tadbir, namun dia masih menerima pendapat dan nasihat daripada staf bawahannya kerana terdapat idea yang mereka sampaikan mampu diguna pakai.
“Pesanan saya kepada staf yang baru berkhidmat di USM, jadikan pekerjaan kita sebagai hobi, dan kita akan rasa cinta akan kerjaya yang kita lakukan,” kata anak kedua daripada 11 adik-beradik ini yang telah berbakti kepada USM selama 41 tahun.
Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1544