PELAJAR USM BANTU BERSIH DAN CAT RUMAH PESAKIT
PASIR PUTEH, KELANTAN, 20 Ogos 2016 – Keprihatinan 12 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan staf Unit Kebajikan Perubatan berjaya membantu membersih dan mengecat rumah pesakit Hospital Universiti Sains Malaysia melalui program turun padang dengan tema “Program Mahasiswa Bersama Komuniti.”
Pengarah program serta pelajar latihan industri di Unit Kebajikan Perubatan Hospital USM, Mohamad Luqman Mohd Zin, 25, gembira dapat membantu pesakit berkenaan sebagai iktibar untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan berhasrat terus membantu orang lain.
Pelajar ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial itu menjelaskan, program ini adalah susulan bantuan yang disalurkan oleh Unit Kebajikan Perubatan Hospital USM sebelum ini seperti peralatan katil pesakit, tilam udara, alat pernafasan dan kerusi roda khas.
Pesakit, Nor Azlinda Mat Razali, 34, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami kecacatan sejak lahir dengan masalah tumbesaran dan tulang reput tinggal bersama ibu dan bapa saudaranya ternyata terharu dengan perhatian yang diberikan terutamanya dari dalam kalangan pelajar.
“Saya tidak menyangka mendapat perhatian ini. Jika semasa datang ke hospital saya dilayan dengan baik dan mendapat layanan yang istimewa, hari ini pihak hospital datang ke rumah pula membantu dalam sokongan moral dan fizikal,” katanya.
Teks: Abdul Aziz Latif / Foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri
- Created on .
- Hits: 1201