YIB LATIH PELAJAR FAHAMI KEPENTINGAN SAINS
PULAU PINANG, 21 Ogos 2016 - Program Youth Industry Bootcamp (YIB) yang menghimpunkan bakat-bakat muda di peringkat persekolahan adalah platform melatih mereka untuk meminati dan memahami keperluan sains untuk masa hadapan.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, bakat-bakat yang dikeluarkan melalui sistem pendidikan di Malaysia adalah hebat namun kebanyakan darinya dilihat kurang memenuhi permintaan dalam permintaan pasaran (mismatch).
Katanya, peratusan semasa dalam kalangan pelajar yang berminat dan layak mengikuti bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga dilihat menurun.
"Infrastruktur untuk menarik pelabur melabur di negara ini adalah mengagumkan namun yang membimbangkan adalah dalam mendapatkan bakat yang sesuai.
"Justeru kita sedang mengambil inisiatif terbaik untuk melatih bakat-bakat yang ada supaya berminat dan memahami kepentingan STEM," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis penutup YIB 2016 yang disertai oleh 108 pelajar-pelajar aliran sains sekolah menengah wilayah utara di sini hari ini.
Yang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), Jaffri Ibrahim; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Abdul Hamid Ahmad; wakil-wakil industri dan sebagainya.
"Kita memerlukan ramai saintis, jurutera dan pakar-pakar teknologi untuk memastikan negara terus berdaya-saing dalam pembangunan.
"Minat dalam STEM perlu disemai dari peringkat awal pembelajaran dan ia seharusnya bukan berorientasikan peperiksaan semata-mata sebaliknya melatih bakat yang boleh berfikir dan memahami sesuatu perkara dengan mendalam," katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1476