170 PPSL BANTU PELAJAR BAHARU TEKAN PATRIOTISME
PULAU PINANG, 20 Ogos 2016 - Seramai 170 orang dipilih daripada 450 permohonan yang dikemukakan oleh pelajar di Kampus Induk di samping 40 orang di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan sebagai Pembantu Pelajar Program Siswa Lestari (PPSL) yang bertanggungjawab membimbing pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan memasuki kampus minggu hadapan.
Penyelaras kursus, Zulkifli Che Hussin berkata, kursus persediaan PPSL diadakan pada 19 Ogos hingga 27 Ogos 2016 melibatkan tiga fasa iaitu Fasa I - Persediaan Mental dan Fizikal, Fasa II Taklimat PTJ dan Fasa III - Persiapan Induk dan Desasiswa.
"Persediaan Mental dan Fizikal dijalankan di Kuala Kangsar, Perak menggunakan modul lasak dan aktiviti luar sepenuhnya seperti berakit di Sungai Perak, solo drop, treasure hunt dan juga broken square.
"Kursus kali turut menyuntik semangat dan aspirasi gelombang kemerdekaan dengan penerapan nilai-nilai patriotisme dalam aktiviti-aktivitinya termasuk pengibaran Jalur Gemilang secara individu dan berkumpulan serta menghias rakit masing-masing mengikut tema kemerdekaan," kata Zulkifli.
Tambahnya, buat pertama kalinya Bengkel Penilaian Semula Keberkesanan Pengurusan PPSL dijalankan pada 19 hingga 21 Ogos 2016 untuk menilai semula aspek pengurusan dan pentadbiran PPSL yang membantu universiti selama ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 879