153 PEGAWAI MUDA PALAPES USM DITAULIAHKAN DI UM
KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2016 - Seramai 153 pelajar Palapes Universiti Sains Malaysia (USM) masing-masing 86 (darat), 37 (laut) dan 30 (udara) ditauliahkan pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam (UA) ke-35 yang berlangsung di Universiti Malaya hari ini.
Pengurniaan watikah dan skrol tauliah kepada pegawai kadet palapes darat, udara dan laut UA disempurnakan oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan USM merupakan UA kedua tertinggi jumlah pegawai muda yang ditauliahkan.
Menurut Leftenan Kolonel Palapes Darat USM Shahrizal Nazri, Palapes USM telah menjangkau usia 37 tahun dan unit kredit terkini badan beruniform ini telah ditingkatkan dari 6 unit kredit kpd 10 unit kredit untuk para pelajar yang menyertainya.
"Latihan Palapes terkenal sebagai platform membentuk sahsiah diri dan kemahiran insaniah pelajar selari dengan visi dan misi USM serta teras dalam pelan pendidikan tinggi negara yang mahu graduan institusi pendidikan tinggi mempunyai nilai kebolehpasaran," jelasnya.
Tambahnya, latihan Palapes bukan sahaja bergred, tetapi pegawai muda akan ditauliahkan juga setelah tamat latihan dan ini menjadi tarikan para pelajar untuk sertai badan beruniform ini.
Keseluruhan pegawai yang ditauliahkan dari seluruh UA adalah seramai 1,675.
Yang turut hadir ke istiadat ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang merupakan Komander (Kehormat) Palapes Laut USM Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang merupakan Kolonel (Kehormat) Palapes Darat USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Leftenan Kolonel Shahrizal Nazri
- Created on .
- Hits: 2572