USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBADAH QURBAN BANTU RAKYAT ROHINGYA

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Ogos 2016 – Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama International Relief and Humanitarian Outreach (iReach) dan Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menganjurkan program Ibadah Qurban di Arakan, Myanmar.

Pengerusi MAPIM Kelantan, Johan Ariff Ismail, berkongsi keperitan hidup masyarakat Islam Rohingya bersama warga kampus dalam satu siri “Menulusuri Penderitaan Umat Islam di Arakan, Myanmar” dalam satu program yang diadakan di Dewan Kuliah 8, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, baru-baru ini.

Menurut Johan, rakyat Rohingya telah diusir dari tanah air mereka dengan cara penindasan, pembunuhan, penyiksaan, dan pencabulan paling zalim.

"Penindasan terhadap agama dan politik dilaksanakan secara penghapusan etnik terhadap komuniti Muslim Rohingya di tanah air mereka Arakan.

“Disebabkan hal ini, pihak MAPIM mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu masyarakat Rohingya dan antara pengisian program yang telah diatur untuk mereka adalah menyumbang haiwan ternakan untuk dijadikan Ibadah Qurban," jelasnya.

Johan berkata, MAPIM menubuhkan satu pasukan kesukarelawanan iaitu iReach yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan program ibadah Qurban di Arakan.

“Pada tahun 2015, iReach-MAPIM berjaya melaksanakan Qurban sebanyak 165 ekor lembu dan 100 ekor kambing di dalam kem pelarian dan kampung sekitarnya.

"Jumlah penerima adalah sebanyak 28,169 keluarga yang mempunyai ahli keluarga keseluruhannya seramai 156,217 orang dan setiap keluarga hanya mendapat kurang dari sekilo daging untuk hidangan mereka sepanjang tahun," ujarnya lagi.

Tambah Johan, iReach-MAPIM mengharapkan lebih banyak sumbangan lembu dan kambing untuk dikorban sempena Aidiladha nanti di samping mewujudkan kesedaran kepada peserta untuk tampil menjadi sukarelawan di masa hadapan.

Yang turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Ustaz Rosdian Hassan.

Teks: Shazleen Hashim / Foto: Mohd Sabri Hj Saleh

  • Created on .
  • Hits: 811

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024