ANJUNG R&B BERI KEMUDAHAN UNTUK IBU BERSALIN BEREHAT DAN MENYUSUKAN BAYI
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Ogos 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan satu kemudahan baharu yang diberi nama Anjung R&B (Rest & Breastfeeding) untuk ibu-ibu bersalin berehat selepas menyusukan bayi mereka yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital USM.
Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Rosline Hassan berkata, dengan adanya Anjung R&B ini, ibu-ibu lebih mudah untuk memerah susu, memberikan susu serta merawat bayi mereka yang sedang dirawat.
“Anjung ini juga merupakan satu inisiatif untuk memberi keselesaan kepada ibu-ibu yang masih berpantang berehat sementara menunggu waktu untuk menyusukan bayi mereka kerana pelbagai kemudahan disediakan antaranya katil pesakit, tandas, bilik solat, pantri dan banyak lagi.
“Seperti yang semua maklum, ibu-ibu yang baru bersalin masih lagi tidak sihat sepenuhnya, namun mereka perlu menyusukan bayi mereka yang dirawat di NICU. Dengan adanya Anjung R&B ini, mereka boleh berehat tidak kira berapa lama kerana ia dibuka setiap masa iaitu 24 jam sehari,” jelasnya.
Tambah Rosline, hanya ibu-ibu yang anaknya dirawat di NICU sahaja boleh menggunakan anjung tersebut bagi mengelakkan ianya disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ibu-ibu yang ingin berehat di Anjung R&B perlulah mendaftar dan mendapatkan kunci dari ketua jururawat yang bertugas di wad NICU terlebih dahulu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Rosline merasmikan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang merupakan acara tahunan yang disambut oleh Hospital USM bagi memberi pengiktirafan kepada usaha ibu-ibu untuk menyusui bayi mereka secara eksklusif dan sehingga umur anak sekurang-kurangnya dua tahun.
Sambutan yang diadakan di Dataran Merah, PPSP USM itu dihadiri kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada staf USM, kakitangan pusat kesihatan berhampiran, ibu-bapa dan kanak-kanak diisi dengan pelbagai program antaranya pertandingan mewarna, bercerita, pertandingan keluarga anggun menyusu dan banyak lagi.
Menurut Rosline, tema sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini ialah ‘Breastfeeding: A Key To Sustainable Development’ atau ‘Penyusuan Ibu: Kunci Perkembangan Kelestarian’ sangat sinonim dengan moto USM iaitu ‘Memastikan Kelestarian Hari Esok’.
“Tema pada tahun ini mengajak orang ramai menghargai kesejahteraan hidup sejak dari awal kehidupan, bagaimana untuk menghormati antara satu sama lain dan bersama menjaga dunia yang kita kongsi ini.
“Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini disambut secara besar-besaran kerana penyusuan ibu adalah cara yang paling berkesan untuk menjimatkan kos dan memperbaiki kehidupan kanak-kanak selain memberi banyak faedah kepada ibu dan bayi,” katanya lagi.
Rosline berkata, susu ibu penting untuk perkembangan kanak-kanak yang sihat dan menyokong penyusuan ibu merupakan salah satu pelaburan yang bijak, bukan saja memberi kebaikan pada individu, malah juga kepada negara.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 927