USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GABUNGAN DUA CABANG PENYELIDIKAN HASILKAN PENYELESAIAN DALAM BIDANG PENGKOMPUTERAN

 DSC2791gfh

USM, PULAU PINANG, 6 Ogos 2016 – Hasil penyelidikan dalam dua bidang yang berbeza cabangnya iaitu bidang Sains Komputer dan Biologi telah menghasilkan revolusi jalan penyelesaian terhadap permasalahan Data Besar dalam bidang pengkomputeran yang mengakibatkan kelajuan sesebuah komputer menepu.

Revolusi yang disebut sebagai pengkomputeran selari ini telah menuntut pendekatan dan teknik-teknik baru dalam mencapai, mengurus, menyusun dan menganalisis yang kini tidak boleh disokong oleh sesebuah komputer.

Hasil penyelidikan pakar dalam bidang pengkomputeran selari dari Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Rosni Abdullah, mendapati kadar pertumbuhan bagi data biologi luar biasa khususnya dalam bidang genomik, pengimejan dan teknologi lain yang mengakibatkan kelajuan komputer menjadi perlahan.

Menurut Rosni dalam syarahannya yang bertajuk Pengkomputeran Selari Bertemu Biologi, satu penyelesaian yang menarik untuk memberikan kuasa pengiraan yang diperlukan ialah pengkomputeran selari di mana penggunaan elemen pemprosesan pelbagai yang mampu untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah pengiraan.

 DSC2807gfh

“Kerjasama ini dapat dilakukan dengan membahagikan beban pengiraan masalah (tugas atau data) kepada bahagian-bahagian, dan kemudian menyambung semula pengiraan separa untuk menghasilkan keputusan yang tepat.

“Maka dengan adanya kemahiran dalam pembangunan algoritma selari pasti akan mempercepatkan tugas menyusun, mengurus dan menganalisis data saintifik,” katanya.

Bercakap ketika memberi syarahan pelantikannya sebagai profesor, Rosni turut mengulas akan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan penyelidikan ini untuk mempelajari bidang yang dianggap asing dalam tugasannya iaitu bidang biologi.

"Kesukaran bermula apabila saya mempelajari tentang molekul-molekul dalam biologi kerana ianya merupakan perbezaan yang ketara daripada bidang kepakaran saya iaitu sains komputer. Namun ianya dapat diatasi dengan bantuan daripada rakan-rakan penyelidik yang lain," jelasnya yang merupakan penyelidik pertama USM yang menerima geran dari syarikat multinasional, Intel Malaysia untuk menubuhkan pusat latihan pengaturcaraan berbilang teras (multicore programming) bagi Malaysia untuk melatih penyelidik Malaysia dalam pembangunan algoritma selari pada tahun 2007.

Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM ini juga telah menjadikan USM sebagai universiti perintis yang melaksanakan modul Galileo/Edison dalam kurikulum Sains Komputer apabila pada tahun 2015 beliau telah menerima sumbangan papan Intel Edison yang dapat menaiktaraf kandungan pembelajaran Galileo supaya meliputi papan Edison.

 DSC2817vg

Syarahan umum Rosni ini turut berkongsi pentas bersama-sama Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader dalam Syarahan Umum Perlantikan Profesornya yang bertajuk "Suatu Perjalanan Melalui Ruang Carian" yang memberi fokus kepada penjadualan.

Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri Datin Dr. Aishah Knight.

Kira-kira 200 orang menghadiri syarahan umum ini termasuk ketua-ketua jabatan USM dan wakil industri.

Rosni mula berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Komputer USM pada Januari 1987 telah menerima beberapa pencapaian yang begitu membanggakan universiti dan negara sepanjang penglibatan beliau dengan pengajaran, penyelidikan dan penerbitan, antaranya penerima geran 'Top Down Prioritized Research' daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau kini merupakan Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6) selain menjadi Ketua Pemprosesan Kumpulan Penyelidikan Selari dan Teragih.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 547

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024