USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ERTI KEMERDEKAAN MASIH UTUH DI HATI PELAJAR USM

IMG 20160809 WA0028

PULAU PINANG, 14 Ogos 2016 - Erti kemerdekaan buat golongan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan masih utuh dalam diri mereka bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-59 yang bakal disambut pada 31 Ogos 2016.

Sebagai golongan pelajar yang berpendidikan tinggi, semangat kemerdekaan dalam diri mereka perlu diterapkan dalam menghayati ertinya selain dapat menyumbang ideologi pendidikan demi pembangunan negara di masa hadapan untuk agama, bangsa dan negara.

Menurut pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dari Sarawak, Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Bin Suhardi, 21, kemerdekaan sebagai seorang mahasiswa lebih menjurus kepada keperluan dan kebertanggungjawaban mahasiswa itu sebagai penggerak dan tonggak untuk negara kekal maju dan bebas dari sentimen penjajah, bukan dari segi keselamatan sahaja tapi turut melibatkan keperluan sebagai rakyat yang hidup dalam etnik berbilang kaum.

"Bagi saya, mahasiswa perlu siap siagakan diri untuk terus menyumbang dan terlibat dalam mana-mana aktiviti universiti khasnya dalam memajukan negara melalui pelbagai aspek tertentu di samping tidak melupakan kepentingan akademik masing-masing," kata pelajar dari Kota Samarahan Sarawak ini.

Sementara itu, bagi pelajar Sarjana USM, Vivekananthaa A/L Chandraseagar, 28, pula, erti kemerdekaan daripada perspektif mahasiswa bermaksud bebas daripada jajahan asing dan berpeluang menelaah ilmu tanpa sebarang sekatan atau halangan, iaitu bagi yang bijak sentiasa menerima peluang untuk menyambung pengajian di peringkat tertiari (tertiary education) manakala yang culas sentiasa ketinggalan dalam meniti arus pemodenan.

"Cara menghayati nilai kemerdekaan boleh diaplikasikan melalui menjunjung Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia serta berusaha melengkapkan diri dengan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yang mantap supaya kemerdekaan negara dapat dilestarikan," jelas anak jati Pulau Mutiara ini.

Tambahnya lagi, generasi masa kini mampu menyumbang kepada kelestarian pembangunan dengan sentiasa peka akan perkembangan semasa dan wajib berkhidmat di Malaysia dengan menyumbangkan tenaga, idea bernas dan komitmen sepanjang masa bagi meningkatkan lagi pencapaian pembangunan negara di mata dunia.

Bagi pelajar dari Pusat Pengajian Komunikasi, Loh Mei Fang, 24, pula, erti kemerdekaan ditafsirkan sebagai negara yang bebas daripada genggaman penjajah dan kemerdekaan patut diraikan oleh setiap rakyat Malaysia bagi memperingati sumbangan wira-wira negara yang telah berkorban demi kemerdekaan negara kerana tanpa mereka, negara ini tidak akan muncul dan mengecapi kemakmuran dan keharmonian seperti yang ada hari ini.

"Pada pendapat saya, mahasiswa tidak harus membataskan pemikiran mereka tanpa mengira mana-mana aspek tertentu dan mereka harus mengaplikasikan pengetahuan yang telah ditimba sejak kecil lagi dan cuba memikirkan alternatif ataupun cara yang lebih berkesan untuk memajukan negara ini justeru secara langsungnya negara ini boleh membangun dengan lebih pesat dan menjadi contoh atau role model bagi negara lain," katanya.

Nurul Faiza bte Nordin, 34, pula berpendapat erti kemerdekaan adalah apabila kita sebagai rakyat bebas dari penjajahan terutama dari segi ideologi pendidikan yang membolehkan kita untuk bebas memberikan sebarang idea berkaitan dunia pendidikan demi kemajuan dan kestabilan negara.

"Sebagai seorang pelajar dan pemimpin masa hadapan, erti kemerdekaan tidak patut disalah anggap kerana kita generasi kini yang akan mencorakkan perjalanan negara ini kelak dan perlu sentiasa berfikiran proaktif dalam setiap tindak tanduk yang dilaksanakan agar ianya tidak tersasar dari tujuan asal pembangunan negara," jelas pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) USM ini.

Tambah anak Johor ini, untuk mahasiswa pada masa kini, mereka boleh menerapkan pendidikan lestari sejak dari awal melalui pendekatan pembelajaran dan rasa minat yang mendalam terhadap pembangunan lestari ini agar pendidikan dapat dijadikan sebagai salah satu aspek menjurus kepada kemerdekaan sesebuah negara itu.

Sambutan Hari kebangsaan yang ke-59 negara kita pada tahun ini adalah bertemakan sehati sejiwa #sehatisejiwa.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 2615

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024