USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DERMA ORGAN MAMPU SELAMATKAN NYAWA PESAKIT

IMG 20160812 WA0029

KUBANG KERIAN, 11 Ogos 2016 - Pendermaan organ atau transplan adalah proses memindahkan organ dan tisu daripada penderma yang masih hidup atau telah meninggal dunia kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir.

Pemindahan organ merupakan kaedah rawatan yang terbukti berkesan dan dapat menyelamatkan nyawa.

Penyelaras Unit Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Suzina Sheikh Abdul Hamid menjelaskan, salah satu aspek penting dalam rawatan perubatan ialah transplantasi organ. Pesakit yang mengalami masalah organ boleh dirawat dengan transplantasi organ yang didermakan menggantikan organ yang telah rosak.

“Pemindahan atau transplan organ terbukti sebagai kaedah rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir (end stage organ failure), termasuk kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

“Transplan organ dan tisu boleh juga meningkatkan taraf kehidupan pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ seperti transplan buah pinggang atau ginjal, transplan kornea mata, transplan tulang, transplan injap jantung dan transplan kulit,” jelasnya lagi ketika bercakap dalam temubual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio yang bertajuk Derma Organ - Jom Ikrar.

“Kaedah rawatan ini dapat menyelamatkan nyawa, menyembuhkan penyakit serta dapat memulihkan kualiti hidup seseorang pesakit. Namun masyarakat tiada kesedaran untuk tampil menderma organ.

Di Malaysia, kanak-kanak dan individu kurang upaya mental tidak dibenarkan untuk menderma organ semasa mereka masih hidup. Banduan juga tidak dibenarkan untuk menderma organ melainkan di dalam keadaan tertentu bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga terdekat.

“Pendermaan dapat dijalankan bergantung kepada di mana dan bagaimana seseorang penderma itu meninggal dunia. Anggota kesihatan yang terlatih akan menilai kesesuaian organ yang ingin didermakan. Individu yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B atau C, Syphilis tidak dibenarkan untuk menderma organ.

“Proses pendermaan organ dilaksanakan apabila pesakit mati otak (brain dead) sebagai potensi penderma organ dan tisu. Kes ini akan dirujuk kepada Pusat Sumber Transplan Nasional. Penilaian dibuat sama ada bakal penderma tersebut sesuai untuk mendermakan organ dan tisu. Sesi kaunseling kepada ahli keluarga bakal penderma dijalankan.

Pemindahan organ juga boleh dilakukan di Hospital USM di mana akan melibatkan pasukan pembedahan perolehan organ daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Institut Jantung Negara (IJN) dan  Institut Perubatan Respiratori (IPR) yang akan bekerjasama dengan Pakar Perubatan di Hospital USM.

Tambah Dr. Suzina, masyarakat pada hari ini tidak perlu lagi bimbang untuk menderma organ, andai mereka telah berikrar sebagai penderma organ, namun masih boleh mengubah keputusan tersebut dan paling penting mereka hendaklah memaklumkan kepada ahli keluarga jika ingin berbuat demikian.

"Ini penting bagi mengelakkan sebarang pemasalahan pada masa hadapan jika ahli keluarga tidak dimaklumkan mengenai perkara ini dan di Malaysia, ahli keluarga dibenarkan untuk mengubah keputusan si penderma setelah mereka meninggal dunia untuk tidak bersetuju menjalani proses pendermaan ini," katanya lagi.

Dr. Suzina turut menyarankan agar masyarakat dan orang ramai agar mendaftar sebagai pengikrar bagi menderma organ sebagai membantu pesakit yang amat memerlukan. Unit Bank Tisu USM Kampus Kesihatan ada menyediakan khidmat nasihat untuk masyarakat yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pendermaan organ dengan menghubungi talian 09-7676824.

Selain itu, bolehlah melayari laman Derma Organ iaitu www.dermaorgan.gov.my atau boleh berhubung dengan Pusat Sumber Transplan Nasional melalui talian bebas tol 1-800-88-9080 untuk mendapatkan borang pendaftaran, dan kad penderma hendaklah disimpan bersama-sama dengan kad pengenalan.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail/Mohd Sabri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 1836

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024