USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEGEMILANGAN SEJARAH KEBUDAYAAN DAN KESENIAN MASYARAKAT CHINA MUSLIM DIPAMERKAN DI MGTF

 DSC2939hk

PULAU PINANG, 11 Ogos 2016 - Kisah serta hubungan antara dunia Islam dengan dunia China yang berkisarkan mengenai pelbagai cerita dan sejarahnya perlu dipamerkan dan dibawa untuk pengetahuan semua pihak.

Menurut Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas ketika pameran "Expression of Chinese Muslim Culture: Unity in Diversity" yang berlangsung di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM hari ini, hal tersebut menarik untuk difahami oleh masyarakat.

Beliau berharap pameran yang akan berlangsung dari 11 Ogos 2016 hingga 10 September 2016 ini akan mencapai objektifnya dan juga dapat menyebarkan maklumat yang tepat mengenai masyarakat China Muslim di China dan di seluruh dunia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan berkata, pameran ini menghimpunkan pelbagai jenis koleksi seperti koleksi seni kaligrafi Islam di dalam pelbagai jenis tulisan khat, artifak warisan China Muslim seperti seramik yang bertulisan khat Arab, numismatik China bercirikan Islam dan ukiran kayu.

 DSC2941bvm

 

Tambahnya, pameran ini juga akan menyaksikan kegiatan masyarakat China Muslim di negara China dalam menyambut Ramadhan dan merayakan Aidilfitri serta juga maklumat mengenai sejarah masyarakat Islam di negara China dan masyarakat Cina Islam seluruh dunia."Kita juga akan dipertontonkan dengan video kegiatan masyarakat Islam di China dan suasana kehidupan seharian mereka sebagai penduduk minoriti di negara China," katanya yang mewakili Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Bagi Penulis China Muslim dan Pengerusi Bersama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Haji Yusof Liu Boujun pula, pameran ini diadakan untuk mempromosikan kesedaran umum berkaitan dunia Islam dari China dan USM dijadikan lokasi untuk membuat pameran kerana ia adalah sebuah institusi yang bersifat pengetahuan berterusan.

"Selain itu, USM dan Pulau Pinang juga adalah tumpuan pelancong dan peluang melakukan pameran di lokasi ini amat sesuai sebagai salah satu tarikan kepada pelancong yang datang untuk lebih mengetahui berkaitan sejarah ini," jelasnya.

 DSC2949BVM

Tambahnya lagi, hubungan masyarakat China Muslim di China mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara di dunia ini khususnya di kawasan Asia.

Pameran ini berkisar kepada kebudayaan dan kesenian masyarakat China Muslim di Cina dan di seluruh dunia secara umumnya dan walaupun masyarakat ini merupakan golongan minoriti di Cina (penduduk berjumlah 23 juta orang yang dibahagikan kepada 10 kumpulan etnik), tetapi mereka tetap mempunyai kesamaan dari segi kepercayaan Islamnya dan keturunan tetapi dalam kepelbagaian budaya dan cara hidup.

Program juga diserikan dengan lawatan melihat pameran dan juga persembahan kebudayaan oleh kumpulan staf USM.

Seramai 150 hadir memeriahkan majlis perasmian pameran yang dianjurkan oleh MGTF dan DMDI.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1736

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024