USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DYTM RM PERLIS PELAWA USM BUKA USM@PERLIS

perlis12

USM, PULAU PINANG, 11 Ogos 2016 - Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis mempelawa Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menawarkan program pengajian dan membawa kepakarannya ke negeri Perlis untuk faedah masyarakat.

Bertitah di Majlis Apresiasi Sisipan Akhbar Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan D.Y.M.M Tuanku Raja Perlis Ke-73 di sini, baginda membuat pelawaan tersebut kerana USM sebagai sebuah universiti APEX dan telah lama bertapak dengan pengalaman dan  kepakaran dalam Sains dan Teknologi mahu pun bidang-bidang lainnya termasuk dalam bidang latihan mahu pun dalam mempelopori dan menggerakkan program-program sosial negara lain.

USM mempunyai kolaborasi yang kukuh dengan pelbagai institusi ternama di seluruh dunia sebagai sebuah Universiti Global.

"Sejarah panjang hubungan akrab USM dengan negeri Perlis apabila DYMM Tuanku Raja Perlis menjadi Canselor USM sejak penubuhannya hingga sekarang ini yang mencatat sejarah tersendiri dalam pendidikan tinggi," titah baginda lagi.

IMG 7570

Baginda mencadangkan agar USM laksanakan aktiviti di negeri Perlis sama ada secara bersendirian mahu pun bersama-sana UniMAP dan pihak-pihak lain seperti dengan Koridor Utara, di bawah IMT-GT dan sebagainya seperti Projek USM dengan NCIA melalui projek di Lembah Chuping di bawah "NCIA Growth Nodes  - Renewable Energy and Logistic" dan menyediakan 'technical capacity and managerial capacity' untuk menyediakan peluang pekerjaan di samping pembangunan kapasiti teknikal memenuhi keperluan kemahiran teknikal dan vokasional TVET yang tinggi.

"USM berupaya untuk berkolaborasi dengan UniMAP dan NCIA untuk menyediakan blueprint dan pelaksanaannya dalam jangka panjang. Malah juga UUM boleh kita libatkan sama sebagai menenuhi agenda pembangunan bersama serta boleh bersama-sama menyediakan peluang latihan perkhidmatan awam dan promosi TVET di sekolah-sekolah dan politeknik di Perlis," titah baginda lagi.

Sementara itu berucap pada majlis yang sama, Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, USM sedia menawarkan kepakaran dan berkongsi pengalaman yang ada dengan mana-mana pihak di negeri Perlis.

"USM sedia untuk menghulurkan apa jua bantuan dan sokongan yang boleh untuk memajukan negeri Perlis secara berterusan, misalnya dengan menggemblengkan kepakaran yang ada untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri Perlis melalui penawaran kursus-kursus yang banyak kita adakan hingga ke luar negara melalui Pusat Inovasi dan Produktiviti Perkhidmatan Awam atau PIPPA," kata Omar.

Tambahnya USM juga bersedia bekerjasama dengan mana-mana institusi dan agensi termasuk UniMAP untuk bersama-sama  berkongsi kepakaran dan menjalin hubungan akrab untuk faedah rakyat seluruhnya.

"USM sedia untuk bersama-sama memainkan peranan apa yang boleh untuk tujuan tersebut, malah kita juga boleh bergabung tenaga dengan beberapa institusi lain untuk tujuan tersebut," tegas Naib Canselor.

IMG 7505

Pada majlis yang sama DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan melancarkan buku ‘Organisational Transformation Concepts and Implementation’ yang ditulis oleh Pengarah PIPPA Dr. Musa Ali di bawah terbitan Penerbit USM dan Educational Competencies Consortium UK yang dijangka berada di pasaran dalam Pesta Buku Frankfurt Jerman September ini.

Dua orang tokoh terkenal dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam  antarabangsa iaitu Profesor Emeritus James Perry dari Indiana University, Amerika Syarikat dan Profesor Carmine Bianchi dari University of Palermo, Itali turut menyumbang tulisan mereka dalam buku ini.

Buku ini diterbitkan dengan kerjasama ECC berpusat di London. Buku ini akan berada di pasaran sempena Pesta Buku Frankfurt, Jerman bulan September 2016.

Sebuah lagi buku yang dilancarkan ialah ‘Hubungan Politik dan Sosio Budaya China-Dunia Melayu Hingga Kurun Ke-15 Masihi’ yang juga diterbitkan oleh Penerbit USM hasil penyelidikan Dr. Nazarudin Zainun, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Dr. Nasha Rodziad Khaw yang baru mendapat ijazah kedoktoran sebagai pakar bahasa Sanskrit dan arkeologi dari Universiti of Peshawar yang kini bertugas di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM.

perlis14

"Buku ini penting dalam memperkatakan sejarah hubungan kerajaan Melayu dengan dinasti China dan saling berurusan sejak sebelum kurun ke-15 Masihi yang berdasarkan fakta yang ada, adalah saling memerlukan antara satru sama lain," jelas Omar.

Tambahnya, pemahaman terhadap fakta-fakta dan bukti sejarah ini akan mendidik kita untuk menghargai dan menghormati hubungan yang terjalin sekian lama dalam konteks sosio-budaya yang ada.  Buku ini adalah kesinambungan dari siri sejarah hubungan ini termasuk dalam perdagangan melalui kajian sejarah-arkeologi dari kepakaran kedua-dua penyelidik ini.

"Pelancaran buku-buku ini lebih signifikan kerana diterbitkan oleh Penerbit USM yang kini telah menerokai penerbitan buku elektronik atau e-book di negara ini yang mendapat sambutan baik dari seluruh dunia," kata Omar.

Yang turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Ahmad Zamri bin Khairuddin dan isteri Puan Noryahwati Mohamad Noh, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Hassan Mohd. Noor, isteri Naib Canselor USM Datin Noraizan Jamaludin, wakil-wakil penaja sisipan, ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan USM serta ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1430

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024