IBU BAPA PERLU PEKA PERKEMBANGAN TUMBESARAN ANAK
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Ogos 2016 – Anak-anak adalah anugerah amat bernilai yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin untuk membentuk masyarakat yang harmoni dalam negara yang aman, apatah lagi dengan kemajuan global yang makin mencabar.
Perasaan kasih sayang terhadap anak-anak perlu ditingkatkan terutama dalam kalangan ibu bapa atau penjaga bagi memberi pendidikan yang lebih berkesan dan meningkatkan perkembangan pemikiran yang positif.
Menurut Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zabidi Azhar Husin @ Mohd Hussin, pengalaman ibubapa dalam mendidik anak-anak amatlah penting, namun perlu sentiasa ada penambahbaikan sesuai dengan peredaran zaman.
“Otak kanak-kanak adalah umpama alat perakam berkuasa tinggi yang mampu merakam perkara yang dilihat dan didengar. Rakaman itu pula akan dimainkan semula dan berupaya membentuk peribadi mereka.
"Hal ini juga bermakna setiap perkara atau perlakuan yang didengar dan dilihat secara tidak langsung menjadi pelajaran kepada kanak-kanak tersebut," katanya.
Tambah beliau, hubungan keluarga yang rapat dengan anak-anak amat membantu dalam perkembangan tumbesaran dan pemikiran kanak-kanak kerana mereka merupakan permata hati kepada ibu bapa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Kesejahteraan Wanita Peringkat Kebangsaan 2016, di sini baru-baru ini.
Tambah Zabidi, ibu bapa perlu memahami tahap perkembangan anak-anak di samping memberi pendidikan yang sesuai dan menyeronokkan dalam tempoh mendewasakan anak-anak.
“Ciri-ciri perkembangan kanak-kanak perlu diambil perhatian dan diteliti oleh ibu bapa terutamanya semasa kecil. Ia dapat membantu ibu bapa mengesan punca anak-anak kurang memberi tumpuan dan ia mungkin juga disebabkan oleh kanak-kanak itu mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran.
“Perkembangan kanak-kanak akan lebih ketara pada usia dua tahun ke atas di mana pada usia itu mereka sudah pandai bercakap, melompat, mengayuh basikal, melakar sesuatu dan sebagainya,” jelasnya.
Zabidi berkata, kanak-kanak pada usia lima atau enam tahun sudah mampu mempamerkan kematangan emosi, perkongsian pendapat dan perasaan sudah semakin ketara.
“Ibu bapa perlu memberi peluang kepada mereka berimaginasi, amalkan bersangka baik dan jauhkan pandangan negatif serta menolak keburukan dengan amalan kebaikan.
“Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lalui, jika mereka dibesarkan dengan kritikan, mereka akan suka mengutuk orang, jika dibesarkan dengan bermusuhan, mereka akan sukar mencari kawan, jika terbiasa dengan ketakutan, mereka sentiasa dalam kekuatiran, jika selalu dicemuh, mereka cenderung jadi pemalu, jika terbiasa dengan dengki mendengki, mereka akan cepat iri hati, jika sentiasa dimalukan, mereka akan cepat terasa bersalah,” ujarnya lagi.
Teks/Foto: Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 674