‘THINKERS TALK’ PLATFORM WARGA USM CETUS IDEA
USM, PULAU PINANG, 11 Ogos 2016 – Program Thinkers Talk anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) Idea Bank diharap dapat menjadi platform bagi warga USM mencetuskan idea-idea bernas untuk pembangunan Universiti di samping menjadi salah satu medium yang membantu Universiti menghadapi cabaran 2016.
Penolong Naib Canselor, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Mahmood berkata, program yang buat julung kali diadakan ini mampu memberi manfaat kepada warga universiti di samping dapat menambah pengetahuan melalui tajuk-tajuk yang disampaikan oleh para penceramah.
“Setiap pandangan yang disampaikan oleh para pensyarah USM ini merupakan idea daripada mereka tanpa melibatkan universiti,” katanya.
Harapannya dengan ada program seperti ini, warga USM dapat berkongsi pendapat, berfikir dan meluahkan idea untuk bersama-sama dalam membantu universiti dalam pembangunannya.
“Saya juga berharap warga USM dapat menggunakan platform ini bukan untuk membincangkan perkara-perkara remeh sebaliknya bagi memberikan buah fikiran, alternatif dan penambahbaikan yang bernas untuk universiti terus cemerlang,” jelas Wan Ahmad Kamil.
Pada program Thinkers Talk siri yang pertama ini, seramai empat orang pensyarah memberi syarahan selama 15 minit setiap orang dengan tajuk-tajuk yang berbeza mengikut pandangan dan idea masing-masing.
Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran Dan Multimedia (PTPM) USM, Profesor Dr. Merza Abbas menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Can Women Think’ membahaskan tentang gender dalam kalangan masyarakat Malaysia dari pelbagai perspektif dan melihat bagaimana setiap negara memandang akan kewibawaan wanita.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM, Profesor Dr. Azlan Amran pula membincangkan tentang topik semasa situasi kewangan yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini di samping jalan penyelesaiannya melalui topik ‘Profit is Not Always the Point’.
Manakala, pensyarah dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Profesor Dr. Liong Min Tze membentangkan tajuk ‘We Own Trillions of Slaves, Why Need a Maid?’ berkaitan kesihatan tubuh badan manusia tentang kepentingan probiotik dan bakteria yang dilihat sebagai agen yang terpenting dalam tubuh badan manusia demi menjaga kesihatan.
Terakhir sekali, mantan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin pula memberi syarahan tentang hasil penyelidikannya yang dilihat dapat membantu mengurangkan getaran tubuh badan akibat menggunakan mesin pemotong rumput dalam jangka masa lama yang boleh mengakibatkan penyakit Parkinson melalui tajuk syarahannya ‘Why I Come to Work’.
Kira-kira 50 orang menghadiri program ini termasuk pensyarah dan pelajar USM.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
- Created on .
- Hits: 821