KANSER PAYUDARA, CAKNAKAH KITA?
KUBANG KERIAN, 8 Ogos 2016 – Kanser payudara adalah gejala yang amat merbahaya dan ditakuti oleh wanita kerana mencacatkan organ penting wanita tersebut dan membawa kematian.
Hal ini dikupas oleh Pakar Perunding Kanan Pembedahan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Dr. Imi Sairi Ab Hadi dalam Seminar Kesejahteraan Wanita 2016 anjuran Pusat Sumber Kanser Payudara, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang berlangsung di sini hari ini.
Seramai 150 orang peserta hadir ke seminar tersebut yang terdiri daripada pengamal perubatan seperti jururawat, pegawai perubatan, pakar perubatan dan juga orang awam.
Menurut Dr. Imi Sairi, kanser ini terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak menjangkiti tisu serta bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa.
Kebiasaan tumor terbentuk kerana pengumpulan sel abnormal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar atau ductus.
“Kanser payudara menyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser dalam kalangan wanita.“Kanser ini juga berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian kanser dalam kalangan wanita. Dalam 1:15 seseorang wanita mempunyai risiko menderita disebabkan oleh kanser payudara,” katanya lagi.
Statistik menunjukkan bahawa 10 kanser yang selalu dihadapi wanita iaitu kanser usus atau kolon yang berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks.
“Dalam kalangan lelaki pula inilah kanser paling kerap berlaku malah lebih membimbangkan, insiden kanser usus atau kolon pada lelaki dan wanita semakin meningkat dalam kalangan individu berumur 50 tahun ke atas,” katanya lagi.
Beliau berkata, setakat ini tiada siapa yang benar-benar pasti apa punca kanser payudara. Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kanser payudara termasuk sejarah kanser dalam keluarga, umur, genetik, pil perancang keluarga, berat berlebihan dan gaya hidup kurang aktif.
Faktor penyebab kanser payudara adalah disebabkan peningkatan umur yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara dengan mereka yang lebih tua memiliki risiko yang lebih tinggi iaitu satu daripada 500 wanita dalam umur 30-an mempunyai kebarangkalian yang tinggi mendapat kanser payudara.
“Dari segi sejarah keluarga terdapat beberapa bukti bahawa penyakit ini boleh diwarisi tetapi peranan genetik di dalam hal ini masih belum difahami sepenuhnya namun dikatakan wanita yang mempunyai ibu, anak perempuan, kakak mahu pun adik yang menghidap penyakit ini mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.
“Sejarah mereka yang pernah menghidap kanser payudara sebelum ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara serta pernah menghidapi penyakit payudara benigna proliferatif dan mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun) malahan tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, gejala utama yang dialami oleh pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, pengeluaran cecair lelehan dari puting, dan sakit atau ketidakselesaan di sekitar payudara. Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin.
“Lelehan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan.
Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya, payudara dan puting akan mengalami perubahan bentuk lalu terbentuk lekukan pada kulit payudara dan teksturnya kelihatan dan dirasai seperti kulit buah oren.
Bentuk dan saiz payudara juga akan berubah. Ruam di bahagian ini dan persekitaran kulitnya juga boleh menjadi simptom serangan kanser payudara. Ruam di puting atau kawasan persekitaran puting boleh terjadi akibat daripada ekzema.
“Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal dengan pemeriksaan payudara.
“Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) setiap bulan sepanjang hayat mereka manakala yang berusia melebihi 30 tahun perlu mendapatkan pemeriksaan oleh seorang doktor atau kakitangan perubatan yang lain setiap tahun,” nasihatnya.
Wanita yang berumur 40 tahun ke atas pula perlu membuat ujian saringan Mammogram dan Ultrasound.
“Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seseorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat yang awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.
“Mencegah adalah lebih baik dari mengubati, oleh itu golongan wanita harus peka akan bahaya kanser tersebut yang boleh mengambil nyawa seseorang,” ujarnya lagi.
Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail/Muhammad Sham bin Mustapha
- Created on .
- Hits: 1796