PROFESOR DR. AHAMAD TAJUDIN KHADER KUPAS KEPENTINGAN PENJADUALAN
USM, PULAU PINANG, 5 Ogos 2016 - Perjalanan penyelidikan yang bermula dengan menyelesaikan beberapa masalah jadual waktu sekolah bagi sekolah-sekolah Malaysia dalam tahun 80-an, telah membawa beliau melalui pelbagai jalan penyelidikan dalam mencari jawapan bagi masalah ini yang nampak mudah tetapi sebenarnya antara masalah yang sukar dalam proses pengkomputeran.
Demikian antara intipati syarahan Profesor Dr. Ahamad Tajudin Khader dalam Syarahan Umum Perlantikan Profesornya hari ini yang bertajuk "Suatu Perjalanan Melalui Ruang Carian" yang memberi fokus kepada penjadualan.
Menurut Ahamad Tajudin, jadual adalah suatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan semua individu kini dalam usaha memudahkan sebarang perancangan aktiviti.
"Sebagai contoh, dengan adanya jadual untuk pengangkutan awam, faktor masa dapat dijimatkan serta individu dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan lebih terancang," kata anak kelahiran Lancang Pahang ini yang merupakan anak kedua dari tiga orang adik beradik.
Pun begitu katanya, di bandar-bandar besar seperti Vienna, penjadualan pengangkutan awam seperti keretapi, bas, trem dan keretapi bawah tanah telah berjaya mengatasi masalah kesesakan di bandar yang berkepadatan tinggi penduduk yang menguatkan fakta bahawa penjadualan adalah suatu perkara yang penting.
Ahamad Tajudin juga menjelaskan aspek jadual waktu tertentu di universiti yang beliau kendalikan dan sentiasa dibuat penambahbaikan melalui penyelidikan dan kepakarannya dari semasa ke semasa untuk memudahkan aplikasi kepada pihak-pihak yang terlibat.
Ahamad Tajudin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Jadual Waktu Universiti sejak tahun 2000 hingga kini dan produk kebanggaannya ialah tiga sistem penjadualan yang masih digunakan oleh USM iaitu sistem penjadualan peperiksaan, sistem penjadualan kuliah dan tutorial dan sistem penjadualan kursus intensif PPPJJ.
Jelasnya lagi, antara cabaran yang ditempuhi dalam penyelidikan melalui kitaran evolusi berdasarkan algoritma penjadualan ini adalah keseimbangan, tempoh penerokaan dan masa eksploitasinya.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri Datin Dr. Aishah Knight.
Terdahulu syarahan umum dimulakan dengan persembahan dari mantan Dekan PP Sains Komputer, Profesor Dr. Rosni Abdullah bertajuk “Pengkomputeran Selari Bertemu Biologi: Cabaran dan Harapan.”
Kira-kira 200 orang menghadiri syarahan umum ini termasuk ketua-ketua jabatan USM dan wakil industri.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 1027