SEKRETARIAT ENACTUS USM RANGKUL ANUGERAH ALL STAR AWARD DUA TAHUN BERTURUT-TURUT
USM, PULAU PINANG, 5 Ogos 2016 - Sekretariat Enactus Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul gelaran All Star Award dua tahun berturut-turut di pertandingan Enactus Malaysia National Cup (EMNC) yang diadakan di bangunan Matrade Exhibition & Convention Centre (MECC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sekretariat Enactus telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan mendapat sokongan daripada Enactus Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program-program yang digerakkan oleh sekretariat ini berkonsepkan keusahawanan sosial dengan tujuan menyumbang kepakaran dalaman bagi menaiktaraf ekonomi komuniti.
Setiap aktiviti sekretariat yang dijalankan adalah di bawah naungan Pusat Keusahawanan Universiti (PKU) dan ahli aktif setakat ini adalah seramai 200 lebih pelajar dari pelbagai latar belakang pengajian.
Penolong Pendaftar Kanan, PKU yang juga penasihat Sekretariat Enactus USM, Nurul Izzati Rozali menjelaskan, anugerah ini diberi kepada lima Enactus IPTA/IPTS yang aktif menjalankan program keusahawanan sosial dan berimpak tinggi bagi manfaat bersama.
“Pasukan pada kali ini terdiri daripada 10 orang ahli dari pelbagai latar belakang pengajian iaitu Kwan Wai Mun, Lim Yang Hock, Ngoi Hui Chien, Ong Gim Hoon, Soo Aie Ling, Yeong Hui Ling, Low Wei-Shern, Yeong Kin rong, Chak Lik Hao dan Low Kah Chun.
“Sekretariat Enactus USM masih mempunyai beberapa perancangan pada masa hadapan bagi menambahbaik projek-projek keusahawanan sosial yang sedang dijalankan dari masa ke semasa agar dapat membantu masyarakat dari sudut penyaluran maklumat dan kepakaran universiti kepada komuniti di samping menaiktaraf ekonomi mereka,” tambah Nurul Izzati.
Presiden Enactus Yeong Hui Ling berkata, Sekretariat Enactus USM telah mempertandingkan dua projek keusahawanan sosial iaitu Techsave dan Trishaw. Projek Techsave merupakan aktiviti yang dijalankan bersama-sama SIMA Handicapped Centre, Pusat Pinang bertujuan menaiktaraf ekonomi golongan OKU di Pulau Pinang. Pelajar mengumpulkan bahan buangan elektronik sekitar kampus dan kawasan berdekatan untuk dijual.
“Hasil daripada jualan tersebut digunapakai bagi membantu pendapatan golongan OKU di SIMA Handicapped Centre, Pusat Pinang. Pada masa yang sama, golongan OKU ini diberi kelas asas penggunaan dan pengendalian komputer bagi mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam bidang ini,” katanya lagi.
Manakala Projek Trishaw yang dijalankan bertujuan menaiktaraf pendapatan dan ekonomi penarik beca di sekitar Pulau Pinang dengan melalui pelbagai aktiviti termasuk kelas pengurusan kewangan asas, pemasaran dan menghias beca yang telah menarik perhatian para hakim pertandingan.
Teks: Nurul Izzati Rozali (BHEPA) / Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain
- Created on .
- Hits: 930