USM-PPDLMS JALIN KERJASAMA BASMI 'ZERO LINUS'
TAIPING, 4 Ogos 2016 - Usaha pembangunan pendidikan strategik membasmi masalah Zero Linus (buta huruf) peringkat sekolah rendah dimeterai antara Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama (PPDLMS), Perak hari ini.
Usaha kepakaran kedua-dua pihak disasarkan memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia supaya pelajar mampu menguasai asas literasi dan numerasi sebelum berakhirnya persekolahan Tahun 1.
Bercakap di majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU), Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Hairul Nizam Ismail berkata, usahasama ini diharap dapat membantu mengurangkan masalah 'zero linus' di awal Tahun 1 persekolahan.
“PPIP mempunyai kepakaran bukan sahaja dari kalangan staf terlatih malah mahasiswa-mahasiswa juga turut sama mampu menyumbang khidmat untuk tujuan tersebut.
"Kita mempunyai pensyarah-pensyarah pakar yang mampu menyumbang idea dan aplikasi pemahaman linus kepada pelajar, bahkan pelajar kita yang banyak didedahkan dengan persekitaran luar dan budaya pembelajaran di negara ini.
"Jadi ini merupakan kelebihan yang dimiliki USM yang dapat menampung keperluan PPDLMS dalam usaha membasmi masalah buta huruf pelajar di daerah tersebut," katanya.
Turut hadir adalah Pegawai Pendidikan Daerah, PPDLMS, Aminudin Mhd. Nor Razali Sharif; Ketua Pegawai FasiLINUS, Dr. Mohd Zuri Ghani; dan Pensyarah Pendidikan Khas (Bermasalah Pembelajaran, dan Pintar Cerdas & Berbakat), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM.
Majlis penandatanganan MoU ini telah diadakan di Hotel Taiping Perdana, Taiping, Perak.
Pada majlis yang sama, Aminudin Mhd. Nor berkata pihak PPDLMS amat berbesar hati dan menghargai kesudian pihak USM dalam menyumbang pakar bagi membantu sekolah-sekolah di sekitar di daerah Larut Matang dan Selama.
"Kita mempunyai lebih 100 buah sekolah rendah untuk dipantau bagi memastikan masalah ini dapat diatasi sebaik mungkin."
Beliau berharap dengan kerjasama ini, USM dapat memberi panduan dan didikan kepada pegawai dan guru-guru sekolah bagi melatih murid-murid yang dirundung masalah zero linus ini.
"Program komuniti yang dilakukan oleh USM ini bukan sahaja dapat mengurangkan permasalahan ini bahkan membantu meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya lagi.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 848