USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM LANCAR 14 SIRI BUKU PENGENALAN GENETIK

13901478 1127758647285167 914844535591188734 n

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Ogos 2016 - Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Genom hari ini telah melancarkan 14 siri buku Pengenalan Genetik Manusia untuk panduan umum.

Program pelancaran buku ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Junaidden Mohd Zain.

Menurut Dr. Junaidden, penerbitan 14 siri buku ini diharap dapat membantu dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap permasalahan genetik.

"Usaha murni pasukan ini amat mulia dalam menyalurkan maklumat mengenai penyakit berkaitan genetik dengan tepat dan terkini, serta menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami semua,” katanya.

Ketua Projek Program Pemindahan Ilmu yang juga Pensyarah Kanan Pusat Genom Manusia, PPSP, Dr. Teguh Haryo Sasongko berkata, penerbitan buku-buku seumpama ini merupakan sebahagian daripada program pemindahan ilmu kepada komuniti bertujuan memberi pendedahan pengetahuan mengenai genetik manusia kepada masyarakat awam secara amnya dan kumpulan pesakit serta keluarga mereka.

"Buku-buku ini dihasilkan oleh sembilan orang pensyarah perubatan serta lima orang pelajar pasca siswazah dan diterbitkan dalam dwi bahasa bertujuan untuk memudahkan pemahaman kepada orang awam selain saiznya yang tidak terlalu tebal.

"Penerbitan buku ilmiah ini turut dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang mengambil masa selama dua tahun," ujarnya.

Menurut Teguh Haryo Sasongko lagi, projek ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

Antara tajuk dan penulis buku-buku tersebut adalah '50 soalan Mengenai Genetik' oleh Dr. Teguh Haryo Sasongko, 'Siri Penyakit Ganjil' oleh Profesor Dr. Zabidi Azhar Mohd Hussin, 'Penentuan Jantina' oleh Profesor Madya Dr. TP Kannan, 'Pengambilan Ubat Berdasarkan Genetik Anda' oleh Profesor Dr. Gan Siew Hua, 'Keabnormalan Kromosom & Penyakit', 'Tabiat Gaya Hidup dan Pencegahan Kanser' oleh Profesor Dr. Ravindran Ankathil, 'Talasemia & Keturunan' oleh Dr. Surini Yusoff, 'Memahami Penyakit Jantung Kongenital' oleh Dr. Angeline Tan, 'Genetik & Kanser' oleh Dr. Sarina Sulong.

Buku ini akan diagihkan kepada organisasi dan institusi di seluruh negara seperti Jabatan Kerajaan, Sekolah Pendidikan Khas, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), hospital, klinik, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Universiti, perpustakaan dan lain-lain.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas, PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman dan Pengurus Besar Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan, Sulaini Mat Il.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1630

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024