3 ALUMNI DAN SEORANG PELAJAR SARJANA USM ANTARA WAKIL BELIA MALAYSIA KE PBB
Tiga orang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana adalah antara 15 orang anak muda Malaysia yang dipilih untuk menyertai delegasi Malaysia untuk menjalani latihan internship di Pertubuhan Banga-bangsa Bersatu (PBB) mulai Ogos ini.
Ahmad Wafi bin Sahedan, 23, berkata, beliau dijangka menjalani internship di Ibu Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York yang ketika itu dijangka berlangsung Perhimpunan Agung PBB Oktober ini.
"Saya berasa sangat gembira kerana sedar pengalaman ini sukar diperolehi apatah lagi pada usia muda ini," kata Ahmad Wafi yang menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Geofizik) USM pada tahun 2011 yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM Sidang 2009/2010.
Wafi bagaimana pun mengakui belum mendapat perincian tentang apa yang perlu dilakukan semasa berada di New York nanti.
Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) ini disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Luar untuk membolehkan anak-anak muda Malaysia menghayati secara mendalam tentang aktiviti dan fungsi PBB, signifikannya PBB kepada pembangunan negara-negara dunia, menghayati dan merasai amalan kerja melalui rangkaian kerja antarabangsa di samping meningkatkan keyakinan diri, kemahiran dan perasaan tanggungjawab.
Mereka terpilih hasil pemilihan ketat yang melalui beberapa fasa.
"Pertama kami menghantar borang permohonan bersama-sama esei tentang “Post-Millenium Development Goals” serta sumbangan saya kepada negara dan Majlis Belia Malaysia manakala peringkat kedua ialah sesi interview di hadapan 5 orang panel yang terdiri daripada 2 orang panel dari Majlis Belia Malaysia, 2 orang dari Kementerian Belia dan Sukan dan seorang dari Wisma Putra, " jelas Wafi.
Seorang lagi peserta yang akan menyertai program internship ini ialah Mohamad Adib Anas, 30, pelajar Sarjana Komunikasi USM, seorang aktivis melalui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sejak 13 tahun lalu.
“Saya berharap, sepulangnya dari internship ini nanti, akan dapat mengadakan program-program pada peringkat kebangsaan tetapi bertaraf antarabangsa dalam kalangan belia negara ini seperti mana sekolah antarabangsa yang mempunyai program khas untuk mendedahkan pelajar-pelajarnya kepada isu-isu antarabangsa dan pertubuhan seperti PBB yang membincangkan pelbagai isu yang berkaitan,” kata Adib, anak kelahiran Pulau Pinang yang pernah mengajar di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum mendapat biasiswa mengikuti pengajian peringkat sarjana melalui penyelidikan di USM.
Bagi Kumanan Kandasamy, 23, pula, peluang mengikuti program ini datang seperti mimpi dan tidak dijangkakannya.
Kumanan akan mengikuti Malaysia-US: Youth Leadership Engangement & UN Friendship Programme juga dianjurkan oleh MBM yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Luar pada 5 – 19 Ogos 2013.
"Saya masih tidak memberitahu sesiapa kerana terlalu sibuk mengejar tugasan-tugasan dalam usaha menamatkan segera pengajian peringkat sarjana," kata Kumanan yang masih mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Awam USM dan dijangka menerima ijazah sarjananya dalam Upacara Konvokesyen USM September ini.
Kumanan menerima ijazah pertamanya, Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan USM pada tahun 2012.
"Saya sangat teruja dan gembira namun amanat yang diberi ini amat besar bagi saya apatah lagi difahamkan inilah kali pertama Malaysia menghantar delegasi ke perhimpunan belia PBB secara rasmi," kata Kumanan.
Para peserta program ini akan ditempatkan di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu New York dan Kedutaan Malaysia di Washington DC.
Seorang lagi peserta yang akan mengikuti program yang sama ialah Eng Chee Wen, 26, graduan Sains Farmasi USM pada tahun 2011 yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Dua Seberang Prai Utara.
Aktivis Pandu Puteri yang berasal dari Sungai Petani Kedah itu, banyak terlibat dalam aktiviti peringkat kebangsaan.
“Ini adalah peluang keemasan yang sangat bermakna dalam hidup saya untuk melihat dari dekat peranan PBB sebagai satu badan berprestij dunia dan peluang ini tidak pernah saya jangka dapat perolehi,” kata Eng.
“Ia menjadi satu landasan untuk pelajari pelbagai perkara baru tentang peranan anak-anak muda dan berharap untuk mengkaji bagaimana untuk melaksanakan dengan baik model keusahawanan sosial yang menyatukan antara konsep keusahawanan dengan kerja sosial serta turut meningkatkan budaya intelektual dalam menyuarakan pandangan dan pendapat di kalangan rakyat di negara ini,” tambahnya lagi.
Anak ketiga dari empat beradik itu berpendapat, peluang tersebut juga sangat berharga dan berbaloi dengan segala kerja keras dan sukarela yang dilakukan selama ini untuk terus menimba ilmu pengetahuan dan nantinya kembali mencurahkan kepada masyarakat. Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 3219