USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIK USM LAKUKAN PENYELIDIKAN KETUM

IMG 20160804 WA0039

PULAU PINANG, Ogos 2016 - Kebelakangan ini tersebar luas kenyataan oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) melalui media sosial tentang usaha mencari mereka yang dapat membantu dalam kajian tentang penggunaan ketum yang dilakukan di satu kawasan di negeri Pulau Pinang yang sebenarnya  bukan untuk hebahan media sosial mahu pun untuk masyarakat seluruhnya.

Demikian dijelaskan oleh penyelidik berkenaan, pensyarah di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM Dr. Darshan Singh tentang isu yang mendapat perhatian ramai dan diviralkan melalui media sosial.

“Tujuan utamanya ialah semata-mata untuk mendapatkan kerjasama penduduk tempatan di kawasan berkenaan sahaja untuk membantu penyelidikan yang dibuat, yang juga telah dimaklumkan oleh para penyelidik kepada pihak berkuasa tempatan,” kata Darshan Singh yang mempunyai kepakaran dalam kajian tentang ketagihan.

Jelasnya, kenyataan tersebut juga sememangnya diletakkan di kawasan berkenaan sahaja untuk menerangkan kajian yang dilakukan melalui Pusat Dadah dan Ubat-ubatan USM kepada penduduk tempatan yang diadakan sejak Mei lalu yang dijangka berakhir pada hujung tahun ini.

“Hasrat kami, para penyelidik menjalankan kajian dalam kalangan pengguna ketum tersebut adalah untuk mengetahui secara mencalam tentang beberapa aspek dalam memahami isu penggunaan ketum ini termasuk kesannya kepada pengguna termasuk pelajar dan kemungkinan-kemungkinan lain dalam jangka panjang.

“Penyelidikan ini mendapat kelulusan universiti dengan menggunakan geran dari Kementerian Pendidikan Tinggi yang juga mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Manusia serta dipantau perkembagannya secara berterusan,” katanya lagi.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1414

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024