NC TEMUI PELBAGAI PIHAK USAHA KUKUH KOLABORASI
SURABAYA, INDONESIA, 3 Ogos 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil kesempatan dari kehadirannya dalam International Conference on University-Community Engagement yang diadakan di sini untuk mengukuhkan hubungan kerjasama dengan beberapa orang wakil universiti yang hadir dan pelbagai pihak lain.
Persidangan yang disertai oleh 350 orang peserta dari India, Kanada, Malaysia, United Kingdom dan Indonesia ini berlangsung di Universitas Islam Negeri Ampel Sunan Surabaya.
Antara yang mengadakan perjumpaan dengan Naib Canselor ialah Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga Jogjakarta yang diwakili oleh Rektornya Profesor Drs. KH Yudian Wahyudi, UIN Sultan Alauddin Makassar yang diwakili oleh Timbalan Rektor untuk Kolaborasi Profesor Dr. Hamdan Juhannis dan UIN Sunan Ampel, Surabaya yang diwakili Rektornya Profesor Dr. H. Abd. A'la.
Omar juga turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Hal-Ehwal Agama Republik Indonesia Profesor Dr. Faizal Ismail dan Ketua Kolaborasi Kementerian Hal-Ehwal Agama Republik Indonesia Bapak Dr. Masduki.
Perbincangan tertumpu kepada pengukuhan jaringan melalui Asia-Pacific University Community Engagement Network (APUCEN), kolaborasi bersama USM dalam penyelidikan Pembangunan Islam, Kerja Sosial, kerjasama dalam Ilmu Pendidikan, Pasca Doktoral, Penyeliaan Bersama calon Doktor Falsafah (Ph.D), Program Pesisir, penandatanganan persefahaman (MoU), perkongsian kepakaran, kemungkinan untuk menghantar pelajar mengikuti pengajian di USM, Program Pemindaan Ilmu serta hal-hal yang berkaitan dengan "Double Major, Major dan Minor program akademik.”
"Saya gembira dengan pertemuan ini dalam kerangka memperkasakan hubungan USM dengan pelbagai pihak di sini khusus dalam kolaborasi masa hadapan dalam bidang yang kita mempunyai kepentingan dan kekuatan bersama," kata Omar.
Jelasnya, usaha seperti ini akan diteruskan agar merealisasikan hasrat membangunkan kolaborasi global dalam bukan sahaja kerangka libat sama komuniti untuk menangani pelbagai isu dan perubahan masyarakat tetapi juga memanfaatkan ilmu pengetahuan, penyelidikan dan kepakaran sebagai mekanisme terbaik menghadapi dunia baharu masa hadapan yang bakal kita tempuhi.
Yang turut sama dalam pertemuan ini ialah Pengarah Pejabat Kolaborasi Masyarakat dan Industri USM Syed Yusof Syed Kechik.
Pagi tadi Naib Canselor USM itu menyampaikan Ucap Utama Persidangan tersebut yang bertajuk University Community Engagement as a Global Movement.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 924