USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ATLET USM TERIMA INSENTIF TERTINGGI DARI KPT ATAS KEJAYAAN DI AUG 2016

IMG 20160803 WA0041

PULAU PINANG, 3 Ogos 2016 - Atlet memanah Universiti Sains Malaysia (USM), Fatin Nurfatehah Mat Salleh, 25, menerima insentif dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini dalam Majlis Penyerahan Insentif Sukan Universiti Asean University Games 2016 atas kejayaannya di kejohanan Asean University Games (AUG) di Singapura baru-baru ini.

Beliau menerima cek bernilai RM4,500 dari Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh yang menyampaikan dalam satu majlis khas di Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya.

Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang sedang menghadiri International Conference on University-Community Engangement di Surabaya turut menyampaikan tahniah atas pencapaian Faten Nurfatihah.

“Setinggi-tinggi tahniah dari saya dan seluruh warga USM yang begitu berbangga dengan pencapaian cemerlang Faten Nurfatihah dan berharap beliau akan terus unggul dalam mengharumkan nama negara.

“Saya percaya, kecemerlangannya sentiasa menjadi aspirasi dan inspirasi kepada rakan-rakan dan warga kampus lainnya, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga sukan,” kata Omar.


IMG 20160803 WA0040 
Fatin yang menggondol 3 pingat Emas dalam acara Individu, Berpasukan dan Campuran bagi acara Compound Memanah berasal dari Sabah adalah atlet memanah negara yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Sains Sukan di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.

Seramai 6 orang atlet dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan penerima tertinggi pada majlis ini dan secara keseluruhannya, Malaysia telah membawa pulang 93 pingat daripada 522 pingat yang dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu 27 emas, 31 perak dan 35 gangsa sekaligus meletakkan kontingen negara di kedudukan ke-3 keseluruhan di belakang Indonesia dan Thailand.

Seramai 171 orang atlet IPT menerima insentif di Majlis Penyerahan Insentif Sukan Universiti Asean (AUG) 2016 ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh.
 
Menurut laman sosial Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi, pemberian insentif ini adalah sebagai menghargai pengorbanan atlet IPT yang telah mewakili dan mengharumkan nama negara di Sukan Universiti Asean (AUG) 2016 yang berlangsung di Singapura di samping mengekalkan kecemerlangan pendidikan di IPT.

Sepanjang penglibatannya, Fatin telah memenangi beberapa kejohanan dunia iaitu Kejohanan Memanah Piala Dunia 2015, (1 emas berpasukan), Kejohanan Memanah Piala Asia 2015 (1 perak berpasukan dan 1 gangsa individu), Kejohanan Memanah ASEAN 2015 (1 gangsa berpasukan), Sukan SEA ke-28 Singapura (3 emas untuk individu, berpasukan dan campuran).Asean University Games kali ke-18 di Singapura ini berlangsung dari 9 hingga 19 Julai 2016 melibatkan 11 negara dan 16 jenis sukan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 991

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024