ALUMNI USM MAMPU JANA PENDAPATAN LUMAYAN MELALUI PROGRAM E-REZEKI
USM, PULAU PINANG, 1 Ogos 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Perhubungan Alumni (PPA) telah dipilih sebagai pusat latihan bagi zon utara untuk Program e-Rezeki.
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni USM, Profesor Madya Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Program e-Rezeki yang diilhamkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2016 lalu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan rakyat tertentu melalui kaedah digital ataupun atas talian (online) dan dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tambah Wan Ahmad Jaafar, e-Rezeki adalah inisiatif digital yang bertujuan untuk menghubungkan golongan berpendapatan rendah atau tidak tetap dengan kaedah saluran pendapatan secara digital.
"Setiap peserta akan diberi latihan untuk melakukan tugasan digital yang bersesuaian dan menjadi sebahagian tenaga kerja digital yang berdaya saing di peringkat global dan program ini selari dengan salah satu halatuju PPA dalam meningkatkan kebolehpasaran 'employability' graduan USM melalui libatsama dan sumbangan Alumni," katanya.
Bagi peserta program, Mohd Saiful Rizal bin Yusoff, 38, dari PP Siswazah Perniagaan, progam ini sangat bagus dan membantu peserta untuk mendapat pendapatan tambahan serta masa untuk melakukan bisnes juga sangat fleksibel kerana ianya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja.
Saiful juga menjelaskan, menurut MDEC, sasaran akhir iaitu selepas latihan selama 9 bulan, peserta dapat menjana pendapatan tambahan konsisten sejumlah hampir 6 ribu ringgit setiap bulan.
"Banyak bisnes boleh dibuat seperti penulisan buku, rekabentuk grafik dan lain-lain dan bagi saya, saya melakukan kerja berkaitan konsultansi dan pemasaran serta secara ringkasnya, semua bidang boleh dilaksanakan secara atas talian jika kita mempunyai masa melalui latihan yang diberikan sepanjang program ini," tambahnya.
Seramai 35 orang dari bidang teknologi maklumat, seni grafik dan terjemahan telah terpilih sebagai peserta untuk latihan kali ini yang akan bergraduan Oktober 2016 nanti.
Pusat latihan ini ditempatkan di Anjung Budi bersebelahan dengan pejabat PPA USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1935