USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAJIAN WARISAN PENTING UNTUK MEMAHAMI IDENTITI BUDAYA MASYARAKAT

IMG 7009ghjn

USM, PULAU PINANG, 2 Ogos 2016 – Kajian mengenai warisan khususnya masyarakat Orang Asli dan pribumi di Malaysia dilihat penting dalam memahami identiti sesuatu bangsa selain ianya dilihat sebagai satu usaha untuk melestarikan warisan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Demikian jelas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dato' Dr. Muhamad Jantan dalam ucapan perasmian sempena Seminar Etnoarkeologi: Etnoarkeologi, Etnografi dan Orang Asli di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, USM sebagai sebuah universiti penyelidikan sentiasa memberi memberi peluang kepada bidang arkeologi dalam usaha meneroka bidang ilmu yang berkaitan warisan supaya dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang cabang ilmu yang diterokai.

“Selain penyelidikan dalam bidang sains, USM juga tidak lupa dalam memastikan hala tuju yang seimbang dalam bidang-bidang sains sosial, kemanusiaan, budaya dan seni,” tambahnya.

Harapannya supaya seminar ini dapat memantapkan lagi bidang arkeologi sebagai satu bidang yang bersifat multidisiplin yang dapat memacukan lagi perkembangan arkeologi.

IMG 6991

“Jika dilihat secara menyeluruh, di USM, kajian warisan boleh dikaitkan dengan pelbagai cabang ilmu penyelidikan seperti alam semulajadi, sains, kelestarian dan kesenian,” kata Muhamad.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin berkata, seminar ini merupakan inisiatif yang diambil oleh PPAG USM kerana kajian dalam Etnoarkeologi merupakan satu cabang bidang penyelidikan arkeologi.

“Kita telah menjalankan kajian dalam mengumpulkan data terkini orang asli dan membandingkan data yang lama yang dilakukan oleh pengkaji terdahulu dalam melihat perkembangan positif atau terdapat perkara yang perlu diperbetulkan dalam aspek pembangunan masyarakat orang asli,” jelasnya.

Tambah Mokhtar, seminar yang julung kali dianjurkan ini telah mengumpulkan pelajar-pelajar dan pengkaji dari seluruh negara untuk duduk bersama-sama berdikusi tentang warisan kebudayaan orang asli.

“USM mengambil inisiatif yang positif dengan mewujudkan bidang ini 10 tahun yang lepas dengan lahirnya beberapa orang pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan peringkat Sarjana yang telah membuat kajian dalam bidang etnoarkeologi ini,” katanya.

IMG 7011

Selain daripada itu, jelas Mokhtar, USM juga telah mengambil langkah proaktif dalam memajukan masyarakat orang asli ini melalui pendidikan yang diberikan kepada anak-anak orang asli selain turut menyediakan infrastruktur kepada mereka dalam membangunkan taraf ekonomi masyarakat pribumi ini.

“Malah di di muzium arkeologi USM sendiri sudah mempunyai pameran tentang kepelbagaian budaya masyarakat pribumi dengan ditunjukkan pelbagai kelengkapan memburu serta pakaian kebudayaan dan adat resam mereka untuk ditonjolkan kepada masyarakat luar supaya dapat mengenali warisan budaya suku kaum ini dengan lebih dekat lagi,” tambah Mokhtar.

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini menghimpunkan seramai 100 orang peserta dan 23 pembentang meliputi bidang-bidang etnoarkeologi, etnografi, Orang Asli dan pribumi serta warisan budaya.

Yang hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Kamarul Baharin A. Kasim, dan Felo Penyelidik Kanan Razak School of Government (RSOG) yang juga penyampai ucaptama, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hood Mohd Salleh.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1782

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024