KAJI BENDA LUAR KEBIASAAN – PEMENANG HADIAH NOBEL
USM, PULAU PINANG, 2 Ogos 2016 – Saintis muda di negara ini disaran untuk mencabar kemampuan diri menjalankan kajian-kajian di luar kebiasaan atau mencabar kaedah konvensional bagi menghasilkan kajian berimpak besar.
Pemenang Hadiah Nobel dalam Fizik, 2014, Prof. Dr. Shuji Nakamura berkata, setiap saintis muda berpeluang mencipta penemuan luar biasa dengan berbekalkan keinginan tinggi dalam mengkaji sesuatu yang unik dan sukar.
Katanya, kejayaan ulungnya mencipta blue light-emitting diodes (LEDs) yang telah membawa pelbagai manfaat kepada dunia dan membolehkannya terpilih dalam senarai penerima anugerah berprestij dunia itu diinspirasikan melalui teka-teki yang sentiasa bermain di fikirannya.
“Kunci kejayaan adalah dengan minat yang tinggi, kerja keras dan sentiasa belajar untuk mengetahui sesuatu dan menambah ilmu untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang.
“Pengalaman sendiri bermula dengan hanya belajar di universiti tempatan, bekerja di syarikat kecil tidak ternama dan tidak dijanjikan dengan ganjaran besar membuktikan kejayaan ada di mana-mana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual sempena kunjungannya ke USM bagi menyampaikan Siri Syarahan Nobel Laureate bertajuk ‘Future Energy Efficient Lighting and Displays’ yang disertai lebih 300 peserta di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, mengkaji sesuatu di luar kebiasaan memang memberi risiko kepada kegagalan namun jika berjaya, kejayaannya mampu menggegar dunia dan memberi impak besar kepada dunia sains.
Nakamura mencipta nama besar dan menjadi pencetus kepada wujudnya teknologi LED biru yang telah banyak mewarnai industri elektronik dan menambah baik kecanggihan televisyen, pemain cakera digital blue ray, telefon pintar (smartphone) dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat khususnya ibu bapa supaya memantau penggunaan yang keterlaluan kepada gajet yang menggunakan LED biru kerana ia boleh menjejaskan kesihatan.
Katanya, cahaya biru mempunyai kesan yang cukup kuat dan penggunaan melampau dan keterlaluan khususnya bagi penggemar permainan video di televisyen dan telefon pintar boleh membawa padah.
“Cahaya biru ini menurunkan kadar hormon melatonin dan akan menyebabkan seseorang susah untuk tidur. Bila ia berlarutan akan mendatangkan masalah kepada kesihatan.
“Justeru masyarakat perlu berhati-hati dalam perkara ini dan gunakanlah kemudahan yang ada sebaiknya dan sentiasa berhati-hati,” kata genius bidang kejuruteraan ini yang memulakan kariernya di Nichia Chemical Industries Ltd pada tahun 1979 setelah memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Universiti of Tokushima, Jepun pada tahun 1994.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 880