USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM USAHA JADIKAN PELAJAR SEKOLAH AGEN PENCEGAHAN PENYAKIT TIBI

untitledhjv

PASIR MAS, KELANTAN, 28 Julai 2016 – Kelab Jaringan Inovasi Perubatan Masyarakat (INCOME), Jabatan Perubatan Masyarakat (JPM), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM)  mengadakan  Program Remaja Sihat dan Bebas Tibi bagi membentuk remaja yang berpengetahuan dalam pencegahan penyakit Tibi di Sekolah Menengah Tengku Panglima Raja, Pasir Mas hari ini.

Program yang disertai oleh lebih 200 orang pelajar dan guru-guru ini juga adalah untuk melahirkan  pelajar sebagai agen penyampaian maklumat kepada keluarga, rakan-rakan dan masyarakat berkaitan gejala sosial dan penyakit Tibi.

Menurut Pensyarah Perubatan, JPM, PPSP, Dr. Nik Rosmawati Nik Husain, pada tahun 2013, sebanyak 24,071 kes Tibi telah dilaporkan di Malaysia dengan tiga peratus remaja di bawah umur 15 tahun disahkan menghidap penyakit Tibi.

“Sebanyak 3,381 bersamaan 14.4 peratus adalah kes Tibi kekal menggunakan ubat. Kes Tibi meningkat apabila peningkatan kes HIV/AIDS kerana pesakit yang dijangkiti virus HIV lebih mudah untuk mendapat jangkitan kuman termasuk kuman Tibi.

“Tibi sebenarnya adalah sejenis penyakit sebaran udara yang disebabkan oleh kuman Mycobacterium Tuberculosis yang sebenarnya boleh dicegah dan dirawat," kata Nik Rosmawati.

Jelasnya, kuman Tibi disebarkan melalui titisan udara yang dijangkiti dari pesakit Tibi.

"Oleh itu, langkah terbaik mencegah penularan Tibi adalah dengan mengasingkan pesakit serta memberi rawatan awal,” ujarnya.

Nik Rosmawati berkata, berjuta-juta kuman Tibi disebarkan semasa seorang pesakit batuk, bersin, bercakap dan meludah.

“Pesakit tibi yang batuk boleh menjangkiti ahli serumah, seasrama atau sesiapa sahaja yang sentiasa bersama dengan pesakit ini.

“Sistem pertahanan badan berperanan penting kerana sebanyak 10 peratus dari individu yang normal sistem pertahanan badannya akan menjadi pesakit Tibi,” katanya lagi.

Menurut Nik Rosmawati, antara simptom mereka yang dijangkiti Tibi adalah batuk berpanjangan lebih dua hingga tiga minggu serta berkahak, sakit dada, batuk berdarah, demam, hilang selera makan, kurang berat badan, keletihan dan berpeluh pada waktu malam.

“Bagi mengetahui seseorang itu menghidap Tibi ialah melalui ujian mantoux iaitu dengan melakukan kepada individu yang ada tanda-tanda Tibi atau ada hubungan rapat dengan pesakit Tibi.

“Suntikan akan diberikan pada bahagian kulit lengan dan individu yang terdedah kepada jangkitan Tibi akan menunjukkan reaksi positif (tanda kemerahan) selepas 72 jam pada bahagian kulitnya disuntik,” jelasnya lagi.

Tambah Nik Rosmawati, ujian makmal bagi pemeriksaan kahak di bawah mikroskop akan dilakukan bagi memastikan pesakit tersebut ada kuman Tibi serta pemeriksaan X-ray pada bahagian dada juga perlu dilakukan bagi memastikan tahap jangkitan dan kerosakan sel paru-paru yang telah dijangkiti.

“Orang yang berisiko mendapat jangkitan kuman ini adalah orang yang tinggal berdekatan dengan pesakit Tibi iaitu dengan tinggal serumah, kerja bersama, belajar bersama dalam jangka masa tertentu iaitu sekurang-kurangnya 24 jam dengan pesakit Tibi.

“Sesiapa juga dalam ‘kontak berisiko’ jika berhubung atau bersama dengan pesakit Tibi walau pun sekejap dan anggota kesihatan yang menjaga pesakit Tibi juga akan terdedah untuk mendapat penyakit ini,” katanya lagi.

Nik Rosmawati turut menjelaskan bahawa penyakit Tibi boleh dirawat sepenuhnya jika dikesan awal dan mengambil rawatan mengikut arahan yang ditetapkan.

“Tujuan rawatan penyakit Tibi dilakukan supaya pesakit dapat sembuh, mengelak dari menjangkiti orang lain, mengurangkan morbiditi dan mortaliti, menghalang jangkitan semula Tibi (Relapse) dan mengelak kejadian kekal ubat Tibi (MDR).

“Langkah-langkah umum mencegah penyakit Tibi ialah sekiranya ada tanda-tanda Tibi, segeralah berjumpa kakitangan kesihatan untuk saringan bagi membolehkan rawatan awal diberikan dengan kadar segera,” katanya.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Foto: Shazleen Hashim

  • Created on .
  • Hits: 1062

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024