BERSARA KETIKA MASIH SIHAT - WAN MOHD SUYUTI
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Julai 2016 – “Saya memilih bersara wajib pada 58 tahun ketika masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk meneruskan pelbagai aktiviti yang telah dirancang selepas bersara nanti,” demikian kata Timbalan Pengarah Kanan (TPK) Pengurusan, Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Haji Wan Mohd Suyuti Wan Ismail yang menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam hari ini.
Dalam amanatnya kepada warga staf yang hadir, Wan Mohd Suyuti berpesan agar mereka memastikan bebas dari hutang sebelum bersara nanti.
“Apabila tiada lagi hutang, kita boleh hidup selesa dengan wang pencen yang diterima walau pun hanya 60 peratus dari gaji pokok sebelum ini.
“Selain itu, kita juga perlu memastikan anak-anak sudah mampu hidup berdikari tanpa bergantung kepada kita lagi,” katanya dalam Majlis Amanat Terakhir TPK Pengurusan Hospital USM yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM di sini.
Wan Mohd Suyuti berkata, perancangan awal sebelum bersara adalah penting untuk menuju kejayaan pada masa hadapan.
“Pelbagai pengalaman suka dan duka saya tempuhi selama 33 tahun berkhidmat dengan USM. Ada gembira, sedih, tertekan dan banyak lagi yang membuatkan saya lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan.
“Kita perlu banyak bersabar, jangan cepat marah, jangan cepat melenting dan saling bekerjasama sebagai kunci yang paling penting bagi kakitangan awam,” pesannya lagi.
Menurut Wan Mohd Suyuti, perkhidmatan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran sangat mencabar dan mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
“Saya berharap agar kakitangan USM dapat menjalankan tugas dengan cemerlang selain terus memberi kerjasama serta sokongan kepada pengganti tugasan saya kelak.
“Kita juga harus sentiasa bersyukur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan demi kesejahteraan dan kemakmuran agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mantan Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr. Zaidun Kamari; Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, Dr. Nik Min Ahmad; Timbalan Pengarah Kanan Farmasi, Haji Zainol Abidin Hamid dan ketua-ketua jabatan serta unit Hospital USM.
Teks: Anawiah Abdul Aziz / Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman
- Created on .
- Hits: 1095