LEBIH RM150,000 TUNAI DITERIMA UNTUK IFTAR RAMADHAN 1437H
USM, PULAU PINANG, 28 Julai 2016 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang membantu secara berterusan aktiviti Ramadan tahun ini.
"Saya berbangga kerana ia tumbuh subur dan berkembang secara semulajadi, terus segar tanpa dirancang atau diselia dengan menjadi budaya dan proses kerja yang melibatkan pelbagai pihak," kata Omar berucap dalam Majlis Penghargaan Naib Canselor kepada kira-kira 150 orang penyumbang dan sukarelawan Ramadan 1437H di sini.
Tambahnya walaupun kita berjaya mendapat sumbangan lebih RM150,000 dan pelbagai barangan namun yang memaknakannya ialah sumbangan tenaga para sukarelawan.
"Saya bersyukur, kita berjaya mengimarahkan Masjid Al-Malik Khalid secara berterusan melalui pelbagai aktiviti termasuk menyediakan bubur lambuk dan makanan untuk gelandangan di samping pelbagai amal ibadah sepanjang Ramadan," kata Omar lagi.
Beliau menyeru untuk semua pihak meneruskan amalan mulia ini dengan memastikan tradisi kesukarelawanan dan usaha mengimarahkan masjid akan terus dihidupkan oleh seluruh warga USM.
Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Islam USM Profesor Dato' Dr. Muhammad Idiris Saleh, Timbalan Pengarah Pusat Islam USM Md Yusof Abdul Rahim, Ustazah Rohayati Daud, Dekan PP Perumahan, Bangunan dan Perancangan Profesor Dr. Aldrin Abdullah, Dekan PP Sains Kajihayat Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Bin Abdullah dan Pensyarah Profesor Madya Dr. Hassim Mat.
Naib Canselor kemudiannya menyampaikan sijil dan barangan kepada semua penyumbang dan sukarelawan.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 711