USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ISDEV KEMBALIKAN KEGEMILANGAN PENYELIDIKAN FALAK USM

IMG 20160801 WA0015

USM, PULAU PINANG, 27 Julai 2016 – Keupayaan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan semula bidang ilmu Falak ini menunjukkan USM sentiasa komited mengembalikan kegemilangan USM dalam bidang ini suatu ketika dahulu.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, usaha ini menunjukkan keupayaan ISDEV menjalankan usaha akademik secara lestari walaupun penyelidikan bidang ini merupakan bidang yang baharu bagi ISDEV.

“Kajian dalam ilmu Falak ini berupaya dimanfaatkan dalam melakukan transformasi dan perubahan sewajarnya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat, menjadikan budaya ilmu dan proses membuat keputusan berasaskan fakta dan data menjadi lebih luas dan memperkasakan usaha yang sedia ada,” tambah Omar.

Jelasnya lagi, USM ingin membangunkan inisiatif universiti global dalam konteks pembangunan bersepadu ini dengan menggabungkan kekuatan kemanusiaan dalam bidang kepakaran ilmu Sains Fizik dan kajian Falak dan Sains Atmosfera.

Omar berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2016) di sini hari ini.

“Saya berharap persidangan yang diadakan pada kali ini dapat menyediakan platform kepada para penyelidik dan pengamal ilmu Falak untuk berkongsi dapatan penyelidikan dan pengalaman masing-masing,” tambahnya.

IMG 20160801 WA0016

Naib Canselor pada majlis yang sama turut melancarkan dua buah buku hasil tulisan pelajar dan pensyarah USM terutamanya dari ISDEV bertajuk Takwim Hijri: Isu dan Pengurusan, dan Takwim Hijri: Instrumen dan Pencerapan Fenomena Falak.

Sementara itu, Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh berkata, bidang kajian ilmu Falak ini merupakan suatu cabang yang baru kepada ISDEV di mana sebelum ini mereka hanya memberi tumpuan kepada kajian pembangunan Islam, pengurusan aset Islam serta Politik Islam.

“Setelah ISDEV dinaikkan taraf kepada Pusat Kecemerlangan Universiti pada tahun 2014, pihak universiti meminta pihak ISDEV meneroka bidang Falak ini sebagai lanjutan daripada bidang Falak yang pernah gemilang pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Tambah Muhammad Syukri, pada permulaan, dua pensyarah daripada ISDEV telah menerima geran penyelidikan di bawah inisiatif Geran Universiti Penyelidikan Individu (RUI) untuk meneruskan kajian dalam ilmu Falak ini menerusi penyelidikan mereka yang bertajuk ‘Pengaplikasian Rukyah dan Hisab di Asia Tenggara’.

“Sepanjang penyelidikan ini, kumpulan ini telah berjaya membuat kerja lapangan dan membina jaringan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di luar negara seperti di Thailand, Brunei, Indonesia dan United Kingdom,” jelasnya lagi.

IDMAC 2016 yang dianjurkan buat kali ke-10  telah menghimpunkan seramai 100 orang peserta dan 28 orang pembentang daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang akan membentangkan dapatan daripada penyelidikan masing-masing.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd Noor.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1100

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024