USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ICLK2016: MEMARTABATKAN WARISAN SEJAGAT MELALUI KEARIFAN TEMPATAN

IMG 6518ug

PULAU PINANG, 27 Julai 2016 - Kearifan Tempatan merupakan ilmu yang dipunyai oleh masyarakat dalam komuniti tertentu yang membangun dari masa ke masa demi menjamin kelangsungan kelestarian warisan unik ini.

Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman, kearifan tempatan ini perlu terus mengorak langkah ke hadapan dan ke peringkat seterusnya dalam era teknologi masa kini yang memerlukan pemerhatian yang lebih khusus.

"Antara dimensi yang perlu diberi fokus kearifan tempatan kini adalah berkaitan penyelidikan yang relevan iaitu perhatian terhadap ekosistem akademik, juga kerelevanannya terhadap komuniti serta industri dan terhadap ekonomi yang mampu menjana kewangan dan saya berharap persidangan ini pada tahun-tahun mendatang perlu melibatkan pihak dari industri," jelasnya yang juga merupakan penasihat kumpalan kearifan tempatan USM.

Tambah Omar, impak melalui beberapa projek kearifan tempatan ini juga telah berjaya melahirkan usahawan-usahawan baru yang berjaya dalam bidang-bidang yang mereka ceburi dan ini telah memperbaiki kehidupan mereka menjadi lebih sempurna.

IMG 6470ygt

Bagi Pengerusi Kumpulan Kearifan Tempatan USM, Prof. Dr. Badaruddin Mohamed, persidangan kearifan tempatan yang telah dianjurkan buat tahun ke-6 kali ini memberi fokus lebih kepada penyelidikan dan pemuliharaan dan juga ingin menjadi juara dalam bidang-bidang kearifan tempatan agar ianya tidak pupus ditelan zaman.

"Hasil daripada persidangan yg bermula dari tahun 2011 ini telah berjaya menghasilkan sebanyak 45 buah buku dan juga Asian Local Knowledge Network (ALKN)," katanya lagi ketika berucap.

Sementara itu, Konvenor persidangan (ICLK2016), Dr A.S. Hardy Shafii pula memberitahu, persidangan kali ini lebih menjurus kepada pemahaman ilmu dan juga pertukaran idea mengenai kearifan tempatan dan pembangunan berterusan bidang kearifan tempatan oleh para peserta dari pelbagai negara yang terlibat.

Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan kali ke-6 ini berlangsung dari 27-28 Julai 2016 dan melibatkan penyertaan peserta dari Kanada, Rusia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia yang membentangkan 90 kertas kerja.

IMG 6502yugy

Yang turut hadir adalah Pengerusi Majlis Warisan Kebangsaan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Dato’ Ar. Hajeedar Abdul Majid dan Professor Dr. Ricardo G. Abad dari Ateneo de Manila University, the Philippines.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 863

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024