HASIL BENIH KERANG DALAM MAKMAL ATASI MASALAH PENGELUARAN
PULAU PINANG, 22 Julai 2016 – Penghasilan benih kerang melalui kajian makmal dijangka dapat mengatasi masalah pengurangan dalam pendaratan kerang yang nyata menjejaskan sumber pendapatan penternak kerang di negara ini.
Selain itu, kemerosotan pengeluaran hasil laut itu yang menurun sehingga 84 peratus sejak sepuluh tahun kebelakangan iaitu dari 100,000 tan metrik kepada sekitar 16,000 tan metrik turut menyebabkan harga makanan laut itu melambung tinggi.
Akademia merangkap pakar bidang biologi marin Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Zulfigar Yasin berkata, kerang menyumbang kepada pengeluaran agrokultur yang paling tinggi berbanding hasil laut lain termasuk ikan, udang, sotong dan sebagainya.
Katanya, masalah ini boleh diatasi dengan penglibatan para penyelidik dengan menghasilkan benih kerang dalam makmal sebelum dipindahkan ke lokasi-lokasi penternakan.
“Masalah penurunan pendaratan kerang ini juga disebabkan oleh kesukaran mendapatkan benih kerang yang selama ini diimport dari luar kesan daripada pelbagai faktor termasuk pencemaran, perubahan suhu dunia dan sebagainya.
“Justeru penghasilan benih kerang dalam makmal ini bukan sekadar memberi penyelesaian kepada penternak, malah boleh membantu negara mengurangkan kebergantungan mengimport benih-benih kerang dari luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bersempena World Congress of Malacology (WCM) 2016 yang menghimpunkan saintis bidang malacology (kajian kerang-kerangan dan siput) dari seluruh dunia di sini baru-baru ini.
Lebih 300 peserta dari lebih 40 buah negara terlibat dalam sesi diskusi membincangkan isu pemeliharaan organisma bercengkerang yang semakin diancam kepupusan, selain membincangkan isu-isu pemeliharaan, pemuliharaan dan biodiversiti spesis itu di seluruh dunia.
Zulfigar juga menegaskan, kajian mengenai kerang juga amat penting kerana hasil laut itu turut menjadi indikator bagi meramal perkara yang berkemungkinan berlaku di masa hadapan.
“Kerang ini sebenarnya menjadi petunjuk terhadap perubahan yang akan berlaku di masa depan dan inilah antara isu besar yang masih belum disedari banyak pihak. Isu ini perlu diberi perhatian sewajarnya dan dikaji oleh para penyelidik.
“Kita perlu sedar bahawa jika kerang semakin berkurangan, semua hasil laut lain juga akan turut terkesan termasuk ikan, tiram, siput sudu, udang dan sebagainya,” katanya sambil menegaskan isu itu adalah antara topik yang akan dibincangkan dalam WCM 2016.
Tambah beliau, penglibatan Malaysia khususnya USM dalam WCM akan memberi manfaat yang cukup besar khususnya kepada para penyelidik di negara ini untuk berkongsi idea dan pengalaman dengan pakar-pakar malacology dari seluruh dunia.
Impak lebih besar turut boleh dirasai apabila saintis wanita USM, Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai diiktiraf dunia dan diangkat menjadi Presiden wanita pertama UNITAS Malacology (UM).
UM adalah sebuah pertubuhan terkemuka dunia yang berpusat di Eropah dan ditubuhkan sejak 1962 dan telah meraih perhatian global khususnya dalam kajian-kajian haiwan lembut bercengkerang di samping meningkatkan kesedaran umum berkenaan isu-isu pemeliharaan, pemuliharaan dan biodiversiti spesis itu.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1388