USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CREATIVE THINKERS, FAST JUARA KONVENSYEN KIK 2016

IMG 4348hj

USM, PULAU PINANG, 20 Julai 2016 - Kumpulan Creative Thinkers daripada Pusat Sejahtera USM telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pengurusan melalui projek mereka yang bertajuk ‘Kesukaran Pesakit Mengemukakan Maklumat Kesihatan Peribadi Ketika Mendapatkan Perkhidmatan Kesihatan’ dengan terhasilnya aplikasi Android yang bertindak sebagai diari pesakit.

Menurut Ketua Kumpulannya, Siti Nurbaya Musa, idea untuk membangunkan satu sistem aplikasi Android yang bertindak sebagai diari peribadi pesakit yang boleh menyimpan rekod sejarah perubatan bermula apabila pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan gagal untuk membawa laporan kesihatan sehingga menyukarkan pihaknya untuk memberikan rawatan yang efektif kepada pesakit.

“Dengan adanya sistem aplikasi ini, memudahkan kerja kami untuk mengesan jenis ubat-ubatan yang biasa digunakan oleh pesakit, rekod pembedahan dan kekerapan rawatan yang diterima oleh pesakit juga dapat diakses dengan hanya menggunakan aplikasi ini,” tambahnya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Sejahtera USM.

IMG 4369gjk

Harapannya supaya aplikasi ini dapat dikembangkan bukan hanya di Pusat Sejahtera USM, tetapi digunakan di Hospital USM dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dengan penambahbaikan yang lebih canggih.

Sementara itu, bagi kategori Teknikal, Juara dimenangi oleh kumpulan Fast daripada IPPT USM melalui projek mereka yang bertajuk ‘Mengatasi Masalah Semasa Pesakit Menerima Terapi Infusi Intravena’.

Kumpulan ini mencipta satu inovasi pengesan yang direka khas untuk mengesan kehabisan infusi dan mengelakkan air embolism berlaku semasa terapi infusi intravena.

Menurut ketua kumpulan Fast yang juga merupakan Jururawat U42, Law Kim Sooi, pengesan yang diberi nama ‘Drop Sensor’ ini dapat menjimatkan masa serta memudahkan perawatan serta menjimatkan kos.

IMG 4362huk

“’Drop Sensor’ ini akan membantu jururawat memberi perkhidmatan yang cekap, efisien dan berkualiti serta memenuhi kepuasan pelanggan serta kos untuk menghasilkannya juga rendah iaitu sebanyak RM81.20 sen seunit,” katanya yang kini bertugas di IPPT USM.

Harapannya, agar inovasi yang direka oleh kumpulan mereka dapat dipatenkan supaya dapat digunakan oleh hospital-hospital di seluruh Malaysia.

Kedua-dua kumpulan yang menjuarai KIK 2016 ini akan mewakili USM dalam Konvensyen KIK Wilayah Utara yang akan diadakan di Langkawi pada bulan Ogos akan datang.

Johan bagi setiap kategori pula membawa pulang wang tunai bernilai RM300 serta piala pusingan dan piala iringan.

Penganjuran Konvensyen KIK 2016 ini merupakan penanda aras dan pelantar bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan serta membantu memupuk kreativiti dan inovasi bagi membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

Hadiah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. Hadir sama dalam majlis tersebut Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Sadiq Zain

  • Created on .
  • Hits: 1044

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024