MEMPERKASA HALA TUJU TADBIR URUS DAN AMALAN KELESTARIAN USM
USM, PULAU PINANG, 19 Julai 2016 - Membudayakan minda kelestarian melalui pemupukan pengetahuan, sikap dan amalan dalam kalangan staf dan pelajar, membangunkan rangka kerja institusi untuk pembangunan kelestarian dan melaksanakan agenda kelestarian yang dirangka antara matlamat strategik yang ingin dicapai dalam amalan kelestarian di Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika pembentangannya di Makmal Penyediaan Hala Tuju Tadbir Urus dan Amalan Kelestarian USM 2016, kelestarian bukan hanya melibatkan persekitaran dan sosial tetapi juga ekonomi. Oleh itu semua cadangan yang diterima perlulah melihat semua 9 elemen utama kelestarian ini.
"Antara elemen kelestarian tersebut adalah Tenaga, Air, Sisa, Perolehan, Pengangkutan, Pembebasan, Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan, Bangunan dan Aset Mudah Alih dan Biodiversiti," katanya.
Elemen kelestarian ini juga perlu dilihat berdasarkan polisi kelestarian USM 2014 yang mengandungi 4 domain utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan inovasi, penglibatan universiti-komuniti dan penyusunan institusi.
Konsep 'USM World Cafe' digunakan dalam perbincangan makmal ini yang melibatkan peserta dalam kalangan ahli akademik, kumpulan Pengurusan & Profesional serta staf sokongan dan pelaksana.
Makmal yang berlangsung selama dua hari pada 18 dan 19 Julai 2016 di Dewan Utama Pelajar A (DUP) USM dianjurkan bersama oleh Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dan Sekretariat Kampus Sejahtera.
Makmal ini turut berjaya menghasilkan sebuah buku berkaitan amalan kelestarian yang bertajuk 'Governance Guidelines for Sustainability Best Practices 2016'.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1040