KANITA USM DAN IHS MARKIT BANTU IBU TUNGGAL JADI USAHAWAN
PULAU PINANG, 19 Julai 2016 – Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui geran dari Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) serta IHS Markit akan membantu 10 orang ibu tunggal sekitar Pulau Pinang menjadi usahawan.
“Geran ini akan digunakan untuk membiayai kos kursus pengendalian spa bergerak yang akan dijalankan dengan kerjasama Kolej Komuniti Bayan Baru,” kata Pengarah KANITA, Profesor Madya Dr. Noraida Endut pada majlis penyerahan cek oleh IHS Markit di sini hari ini.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IHS Markit yang menerima proposal KANITA bagi menjalankan projek ini dan jalinan kerjasama dengan industri ini perlu diteruskan pada masa akan datang,” tambah Noraida.
Sementara itu, Pengarah Urusan IHS Markit Pulau Pinang, Vimaleswari K. Ramasamy berkata sumbangan ini adalah bagi membina ekosistem yang lebih bersepadu dengan USM mempunyai kepakaran dan ilmu manakala industri lebih kepada pelaksanaan yang mengikut kehendak pasaran.
“Pihak kami sangat berbesar hati bekerjasama dengan USM dan KANITA dan jalinan ini juga melibatkan IHS Markit di Singapura yang juga berminat untuk membantu komuniti di Pulau Pinang.
“10 orang bakal usahawan ini akan diberi latihan pengendalian spa bergerak bermula 23 Julai ini sehingga akhir bulan September dalam 9 sesi,” kata pensyarah KANITA, Dr. Magdalene C.H. Ang yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan program ini.
IHS Markit menyumbang RM2,400.00 manakala BJIM USM menyumbang RM5,000.00 bagi pelaksanaan program ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah mantan Pengarah KANITA, Profesor Dato’ Dr. Rashidah Shuib dan para pensyarah KANITA.
Teks: Nor Rafizah Hj. Md. Zain
- Created on .
- Hits: 858