USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OSCC BANTU MANGSA KEGANASAN RUMAH TANGGA

 DSC1546hjv

USM, PULAU PINANG, 15 Julai 2016 – Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha dalam melindungi wanita daripada keganasan, pencabulan serta jenayah seksual.

Demikian jelas Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed yang menyeru supaya mangsa penderaan seksual tampil melaporkan kejadian kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Walau bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan apabila mereka berada dalam ketakutan akibat sering diugut oleh pelaku dan kebanyakan mangsa menghadapi gangguan mental, emosi, dan simptom-simptom ‘post traumatic stress disorder’ (PTSD),” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Pusat Khidmat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre, OSCC) Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Katanya lagi, berdasarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih kurang 1,300 hingga 1,600 kes pengabaian kanak-kanak pada tahun 2011 hingga 2013 dan jumlah ini amat membimbangkan kerana terdapat peningkatan kes pada setiap tahun. Selain daripada itu, bagi kes keganasan rumah tangga, statistik yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati awal tahun sehingga September 2015 sebanyak 3,343 kes telah diterima.

 DSC1568gjkh

Bagi kes rogol pula, rekod daripada PDRM  mendapati sebanyak 1,615 kes telah dilaporkan pada tahun 2015 dan kes gangguan seksual sebanyak 230 telah direkodkan. 

Tambah Rahman, OSCC yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 adalah pusat perkhidmatan bersepadu di antara berbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan bertujuan memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa-mangsa seperti penderaan kanak-kanak, perkosaan, liwat dan juga keganasan rumah tangga.

“Di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, penubuhan OSCC yang ditempatkan di semua Unit Kecemasan hospital di seluruh negara telah memainkan peranan bagi menstabilkan mangsa penderaan seksual sebelum rawatan perubatan dapat diberikan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, masih ramai yang belum mengetahui tentang kewujudan pusat ini dan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk menyebarkan kepada masyarakat di luar sana agar mereka dapat melaporkan kes kepada saluran yang betul.

“Saya harap seminar yang diadakan pada hari ini dapat meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan dan seterusnya dapat memberi rawatan dan bantuan yang terbaik kepada mangsa,” tambahnya.

13731592 1114065395321159 4852768188429857384 n

Yang hadir sama dalam majlis ini Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr Sukumar Mahesan; Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr Norsidah Ismail dan Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid.

Teks: Syuhada Abd. Aziz / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2030

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024