BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN
KUBANG KERIAN, 17 Jun - Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman meminta seluruh warga universiti bekerja sebagai satu pasukan untuk memacu kejayaan universiti pada masa hadapan.
Berucap merasmikan Makmal Transformasi Perkhidmatan Staf Pelaksana anjuran Kesatuan Kakitangan Am USM (KKAUSM) dan Pejabat Transformasi USM, Omar berkata, semua pihak perlu membangunkan satu entiti yang jelas, kukuh dan teguh.
"Kita perlu misalnya untuk sama-sama membantu semua warga menjadi lebih produktif dan berusaha untuk menggerakkan juga warga jabatan lain, misalnya dengan cara memindahkan mereka yang cemerlang ke jabatan lain untuk tingkatkan produktiviti jabatan baharu," kata Omar.
Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Presiden KKAUSM Mohd Rahim Abd Wahid serta beberapa orang pegawai kanan universiti.
Tambahnya lagi, kita perlu melebarkan proses perundingan dan mendengar pendapat dari pelbagai kumpulan warga sama ada pensyarah, ketua jabatan malah juga para pelajar untuk melibatsama mereka dalam proses kerja universiti.
"Saya gembira dengan usaha yang dilakukan oleh KKAUSM yang kebelakangan ini nampak jelas usaha yang dimainkannya dan ingin mencadangkan agar dapat diperkukuhkan lagi melalui penganjuran acara-acara lebih besar misalnya Hari Warga Staf sebagai sebahagian dari acara tetap Sambutan Hari Pekerja setiap tahun," kata Omar.
- Created on .
- Hits: 1986