BERBANGGA BERTUGAS PADA PAGI RAYA
USM, PULAU PINANG, 6 Julai 2016 - Berbeza dengan perasaan kebanyakan kita yang bersedih kerana terpaksa bekerja pada pagi Raya meninggalkan keluarga, Hirman Ismail, 38, dan Ahmad Nasir Abdul Latif, 45, sebaliknya rasa bangga kerana dapat berbakti kepada universiti.
"Bohonglah jika langsung tidak terasa apabila keluar rumah meninggalkan isteri dan dua orang anak tetapi saya lebih bangga kerana dapat menunaikan tanggungjawab ini," kata Hirman yang kali kedua bertugas di pagi Raya sejak bertugas sebagai pegawai keselamatan USM.
Manakala bagi Ahmad Nasir, ini bukanlah pengalaman pertamanya.
"Saya yang meminta bertugas di pagi raya untuk memberi peluang kepada rakan-rakan lain bersama keluarga mereka," katanya yang kematian isteri sejak 2 tahun lalu akibat kanser payu dara dan menghantar empat orang anaknya ke rumah bekas mertuanya di Jitra Kedah.
"Kami ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh warga USM," kata kedua-duanya yang bertugas di Pintu Masuk USM Sungai Dua, Pulau Pinang.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1194