38 TAHUN DENGAN USM
USM, PULAU PINANG, 6 Julai 2016 - Dia paling berbangga apabila Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih menjalani Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008.
"Saya berbangga dengan USM dan bersyukur kerana memilih menggunakan tema kelestarian dalam semua urusannya kerana ini berupaya untuk melakukan perubahan," kata Pembantu Awam Jabatan Pembangunan USM, Abdul Wahab Aziz.
Anak kelahiran Pulau Pinang yang akan mencecah usia 60 tahun dan bersara September ini berkata, kelestarian adalah tindakan bijak USM yang melibatkan semua orang dan mampu menjimatkan kos pengurusan universiti.
Ditemui berkerusi roda dengan ditemani anak lelaki tunggalnya setelah mengerjakan solat sunat Aidil Fitri di Masjid Al-Malik Khalid USM, Abdul Wahab menyifatkan kejayaannya untuk bersama-sama menjimatkan sebanyak RM154,940 pada tahun 2014 dan 2015 dalam pengurusan sampah adalah yang paling manis dalam sejarah kerjayanya terutamanya ketika bertanggungjawab menjaga dan memantau kebersihan kampus.
Abdul Wahab yang diserang angin ahmar kira-kira sebulan lalu berkata, jika seluruh warga USM bekerja mengikut peraturan dan mematuhi prosedur dan proses kerja yang sewajarnya akan berupaya melakukan lebih banyak perubahan dan penjimatan kepada universiti.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang sangat prihatin kepada warga USM termasuk kakitangan sokongan dan OKU," kata Abdul Wahab yang mula bertugas semasa USM diterajui oleh Naib Canselor pertama Tan Sri Hamzah Sendut.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1409