MADRASAH RAMADAN INSTITUSI PENDIDIKAN TERBAIK
USM, PULAU PINANG, 6 Julai 2016 - Teruskan amalan sepanjang Ramadan dalam kehidupan seharian dan menjadikannya sebagai proses pendidikan jiwa yang terbaik.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, Ramadan adalah seumpama sebuah madrasah, sebuah institusi pendidikan terbaik dari Allah SWT dan hari ini kita mendapat ijazahnya yang bergantung kepada bagaimana kita melaluinya.
"Ijazah kelas pertama tentunya dianugerahkan kepada mereka yang melaluinya dengan penuh tawadhuk dan mendapat keampunan Allah SWT. Yang terbaik tentunya yang berjaya menguasai ilmu dan disiplin diri yang hebat yang dapat diteruskan dalam 11 bulan yang akan datang.
"Yang terbaik juga adalah yang dapat menjadi suri teladan atau role model sebagai seorang insan yang bertaqwa yang menjaga adab dengan Tuhannya, adab dalam hubungan sesama manusia serta adab dalam hubungan dengan alam dan makhluk Allah lainnya," kata Omar ketika berucap di Masjid Al-Malik Khalid sebelum solat sunat Hari Raya Aidil Fitri hari ini.
Katanya lagi, ijazah yang diterima dari proses tarbiyyah madrasah sebulan ini adalah untuk kelestarian dan kesejahteraan masa hadapan.
"Raikan ketibaan Syawal ini dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Segala sikap dan didikan yang dilalui itu akan bermakna jika kita terus mengamalkan ilmu dan tarbiyyah yang diterima dengan menjaganya sebaik mungkin termasuk beradab ketika dalam perjalanan untuk merayakan kemenangan dan kejayaan ini," kata Omar.
Beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua dan tahniah atas kecemerlangan melalui madrasah Ramadan dan menyeru agar meneruskan segala didikan ini untuk kegemilangan institusi, dunia dan akhirat serta Maaf Zahir Batin.
Teks penuh boleh dilayari di http://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/3926-madrasah-ramadan-institusi-pendidikan-terbaik
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 815