USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BENJAMIN JUARA ‘BRAIN BEE CHALLENGE’ 2016 MUNCUL 10 PESERTA TERBAIK DUNIA

brainbee1

KUBANG KERIAN, 5 Julai 2016 - Pelajar Sekolah Menengah Methodist, Sibu, Sarawak, Benjamin Wong Yi Ren, 16, yang dinobatkan sebagai juara ‘Malaysian Brain Bee Challenge’ (MBBC) dan dipilih mewakili negara ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBB) 2016 anjuran European Federation Of Neuroscience Societies (EFNS) di Copenhagen, Denmark pada 30 Jun hingga 4 Julai muncul sebagai 10 Peserta Terbaik Dunia.

Benjamin mendapat pengiktirafan itu selepas berjaya melalui lima peringkat ujian yang melibatkan Neurosains dalam pertandingan yang disertai oleh 26 peserta dari seluruh dunia.

Pencapaian ini merupakan pencapaian terbaik negara sejak Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi Konsortium Brain Bee Antarabangsa dari tahun 2012 yang berpangkalan di University of Maryland, Amerika Syarikat.

Penyelaras Peringkat Kebangsaan merangkap Ketua Projek ‘Brain Bee@USM’, Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha berkata, Benjamin berjaya menaikkan nama negara setelah diumumkan berada dalam kelompok 10 terbaik di peringkat dunia.

13532933 1107787585948940 8334014743015991298 n

“Pencapaian ini paling tinggi dan membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana pencapaian terbaik sebelum ini adalah berada di tangga ke-14 pada IBB 2014 yang berlangsung di Washington D.C. Amerika Syarikat,” jelasnya.

Tambah Muzaimi, antara negara-negara lain yang turut menyertai pertandingan ini ialah Jerman, Amerika Syarikat, Itali, Iran, Romania, Kanada, Australia, New Zealand, Poland, Israel, Singapura, England dan banyak lagi.

“Juara IBB 2016 dimenangi oleh peserta dari negara Romania, naib juara disandang oleh negara Kanada dan tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari Amerika Syarikat. IBB 2017 pula dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat pada bulan Julai tahun hadapan.

“Pemergian Benjamin ke Copenhagen, Denmark ditaja oleh USM, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan Pusat Khidmat Komuniti Bawang Assan, Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak dan Pusat Khidmat P194 Petra Jaya, Sarawak,” ujar Muzaimi.

Menurut Muzaimi lagi, setiap peserta yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa secara automatiknya akan menjadi alumni ‘Brain Bee@USM’.

“Permohonan untuk menjadi alumni juga akan dibuka kepada peserta yang pernah menyertai pertandingan MBBC peringkat kebangsaan serta menunjukkan minat yang berterusan dalam bidang Neurosains.

“Kami juga akan cuba memperbesarkan lagi penyertaan MBBC pada tahun hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peserta untuk menyertainya di peringkat kebangsaan serta menarik minat universiti-universiti lain dan syarikat korporat untuk turut bekerjasama dengan USM,” katanya.

MBBC adalah Projek Libatsama ‘BrainBee@USM’ melalui sokongan Geran Jaringan Industri dan Masyarakat USM dengan kerjasama Persatuan Jaringan Neurosains Kelantan, Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains, Kampus Kesihatan USM, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Taylor’s University.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1184

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024