PENGERUSI LGU SERU WARGA USM KUKUH SILATURAHIM SEMPENA AIDIL FITRI
PULAU PINANG, 4 Julai 2016 – Pengerusi Lembaga Gabenor (LGU) Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada seluruh warga USM, alumni dan semua rakan-rakan di mana sahaja berada sempena Sambutan Hari Raya Aidil Fitri kali ini.
“Saya dan isteri ingin mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua ahli LGU, warga USM dan rakan-rakan serta berharap agar dapat menyambutnya dengan penuh kemeriahan dan kesederhanaan di samping saling bermaaf-maafan,” kata Zulkefli.
Beliau mengharapkan agar sambutan menjadi masa untuk semua pihak mengukuhkan tali silaturahim dan kekuatan untuk saling membantu dan bekerjasama memacu kecemerlangan USM pada masa hadapan.
“Semangat Ramadan yang baharu kita lalui seharusnya membolehkan kita memahami erti pengorbanan dan pentingnya bersatu hati dalam membawa institusi, negara dan bangsa mencapai kejayaan,” kata beliau lagi.
Sementara itu Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengingatkan seluruh warga USM supaya meneruskan khidmat bakti kepada institusi dan negara serta menggunakan pendekatan lebih banyak memberi daripada menerima demi kejayaan masa hadapan.
Naib Canselor menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh warga USM, para alumninya di mana sahaja berada, pelajar dan mereka yang sedang melanjutkan pengajian di seluruh pelosok dunia serta rakan industri, khidmat komuniti mahu pun sahabat-sahabat lainnya dalam ikatan kekeluargaan yang erat dan bersatu padu.
“Saya berbangga kerana warga USM sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat bakti terutamanya dalam kalangan doktor, pegawai perubatan, jururawat, pegawai keselamatan serta semua yang sentiasa berkorban walaupun ketika orang lain menyambut perayaan seperti di Hospital USM dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM serta mereka di Jabatan Pembangunan yang sentiasa bersedia tatkala sambutan hari raya,” kata Omar.
Menurutnya, kita selama ini terhutang budi kepada pasukan uniform seperti polis dan tentera mahu pun anggota keselamatan lain di samping para doktor dan jururawat seluruh negara yang bertugas semasa musim perayaan.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 714