PENGAKREDITASIAN PUSAT PTU, CTU DAN ADL IPPT LEBARKAN JARINGAN KOLABORASI GLOBAL
PULAU PINANG, 4 Julai 2016 - Pusat Kajian dan Penyelidikan yang berakreditasi membawa erti bahawa data dan kajian yang dihasilkan pusat berkaitan sudah ditanda aras dan dapatan kajian boleh diyakini.
Demikian ujar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan ketika memberi komen berkaitan kejayaan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di ASEAN miliki fasiliti kajian praklinikal dan klinikal bertaraf dunia.
"Dengan pentauliahan pusat PTU, CTU dan ADL di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) melalui proses akreditasi, ini bermakna kita bukan saja telah menambah bilangan fasiliti kajian yang mantap tetapi juga jenis kemudahan kajian yang berwibawa dan kesemua ini bermakna kita telah memantapkan lagi ekosistem penyelidikan dan inovasi, bukan saja bagi keperluan universiti tetapi juga kepada industri dan para penyelidik lain di bahagian utara dan negara," katanya.
Tambahnya, dengan pemantapan ekosistem ini, usaha untuk memartabatkan usaha penyelidikan, yakni dengan meningkatkan kualiti penyelidikan di samping memberi kesan dan impak yang lebih tinggi kepada industri dan masyarakat dapat direalisasikan.
"Usaha pentauliahan ini saya percaya memerlukan kesungguhan yang gigih, masa dan dana yang tinggi untuk diperolehi walaupun cabaran mendapat akreditasi ini begitu getir serta cabaran yang seterusnya perlu juga dirancang dan ditangani sebaik mungkin," jelasnya.
Mengulas lanjut, Muhamad berkata, cabaran pertama ialah mengekalkan akreditasi yang telah diperolehi ini kerana sebarang sijil akreditasi mempunyai tempoh sah lakunya dan akan diaudit dari semasa ke semasa di samping cabaran-cabaran baru mesti juga ditangani sebaik mungkin untuk memastikan status akreditasi ini kekal di samping memenuhi keperluan-keperluan baharu yang bakal mendatang.
"Manakala cabaran kedua yang mungkin lebih penting adalah memastikan kemudahan penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia ini digunakan sebaik mungkin dan diterjemahkan kepada hasil penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia.
"Kemudahan seumpama ini perlulah dimanfaatkan untuk penyelidikan yang terkini atau “state-of-the-art’ yang sebelum ini mungkin tidak dapat dijalankan disebabkan kekangan ketiadaan kemudahan seumpama ini," katanya.
Muhamad juga berharap kemudahan seumpama ini dapat melebarkan lagi jaringan kolaborasi penyelidikan dengan para saintis lain di dalam dan di luar negara supaya kemudahan ini dapat dikongsi bersama dengan penyelidik-penyelidik yang berminat.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar, Timbalan Pengarah Akademik dan Hal Ehwal Pelajar IPPT Prof. Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff dan Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian, Dr. Muhamad Yusri Musa sebagai kepimpinan tertinggi IPPT, seluruh warga IPPT dan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1407