USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM TAUTAN KASIH RAMADHAN CERIAKAN PESAKIT SEMPENA AIDILFITRI

IMG 0026uo

USM, PULAU PINANG, 1 Julai 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan lagi program libatsama komuniti dalam membantu masyarakat sekeliling dengan melawat pesakit-pesakit di Hospital Besar Pulau Pinang untuk menceriakan mereka sempena musim perayaan aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pengarah Projek Program Tautan Kasih Ramadhan 2016, Dr. Darshan Singh A/L Mahinder Singh berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan makanan kepada kira-kira 230 orang pesakit kanak-kanak dan dewasa bersempena Program Tautan Kasih Ramadhan kali ke-5, yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) USM dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) di Hospital Besar Pulau Pinang hari ini yang jelas membawa kegembiraan kepada mereka.

"Kita berharap agar program-program libatsama komuniti sebegini akan terus dianjurkan bagi berkongsi kegembiraan dan keceriaan bersama insan-insan seperti ini,” tambahnya.

Program amal USM bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama sahaja lagi ini turut diserikan dengan persembahan badut dan nyanyian lagu Aidil Fitri, Selamat Hari Raya serta Rasa Sayang oleh barisan kakitangan Pusat Pengajian Seni yang terdiri daripada para pensyarah dan staf serta Dewan Budaya USM yang dipimpin oleh pensyarah Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Dr. Razif Mohd.

“Kehadiran USM sedikit sebanyak mampu meringankan kesakitan yang dialami oleh mereka dan anak-anak ini dapat berhibur menerusi rangkaian lagu nyanyian yang menceriakan dan kita dapat lihat keceriaan jelas terpancar di wajah setiap dari mereka,” katanya lagi.

Teks: Syuhada Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 852

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024