SITI ZURIANAH FELO PERDANA KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MALAYSIA
PULAU PINANG, 30 Jun 2016 - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Zurianah Ismail kelmarin telah menerima pengiktirafan apabila terpilih dalam program Felo Perdana di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.
Menurut Siti Zurianah, dengan pengiktirafan ini, sumbangan yang ingin dilakukannya untuk USM adalah untuk memikul tanggungjawab sebagai Felo kepada YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek dengan sebaiknya dan akan mempelajari secara menyeluruh berkaitan kementerian ini.
"Apa yang ingin saya sumbangkan adalah dari aspek penyebaran dan perkongsian sudut idea dan juga pengalaman yang ditimba bersama warga USM.
“Dari perspektif USM pula, saya hendak membuktikan bahawa pengalaman bersukarelawan mampu dimanfaatkan serta disesuaikan dalam pertanian dan pertanian pula boleh menjadi sumber pendapatan kepada individu jika ianya diusahakan dan dilaksanakan dengan penuh komited,” kata pelajar jurusan Kewangan Islam, Pusat Pengajian Pengurusan ini.
Pada pandangan Siti Zurianah, seharusnya selepas ini, negara perlu mengurangkan import dan memaksimumkan eksport hasil tani ke luar negara.
Siti Zurianah juga tidak melupakan hari pertamanya ini selepas mendapat Felo apabila YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek menjemputnya dan rakan Felo lain untuk hadir di Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan banyak perkara yang dipelajari beliau di hari sulungnya ini.
Terdahulu seramai 87 Felo Perdana telah diserahkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Tun Razak kepada semua Ahli Kabinet Menteri.
Sementara itu, YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek pula menyifatkan Siti Zurianah sebagai seorang yang mempunyai latar belakang kesukarelawanan dan berharap Siti Zurianah dapat menggunakan pengalaman ini serta menaburkan baktinya kepada kementerian serta seharusnya diberi peluang dan ruang dalam memperkasakan dan menimba pengalaman bernilai ini.
Pada Anugerah Tokoh Siswa 2015 baru-baru ini, Siti Zurianah merangkul dua Anugerah Tokoh Siswa 2015 bagi kategori Anugerah Sukarelawan (Terbuka) Terbaik dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa.
Anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini telah mewakili Malaysia sebanyak enam kali program kesukarelawanan peringkat antarabangsa antaranya, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Green Summer Volunteerism di Ho Chi Minh Vietnam, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Laos, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Bintulu, Sarawak, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Kapit, Sarawak, Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Batang Lupar dan Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Pasca Banjir Pahang dan Kelantan.
Felo Perdana ini merupakan program berprestij anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan Felo dipilih daripada mahasiswa luar negara dan juga dari dalam negara.
Tujuannya adalah untuk melibatkan mahasiswa dalam pentadbiran di samping menimba pengalaman dalam kementerian serta memanfaatkan pengalaman ini untuk kegunaan masa hadapan.
Felo merupakan perintis kepada tampuk kepimpinan masa hadapan dan secara tidak langsung Felo merupakan satu inisiatif kerajaan dalam melahirkan pemimpin yang memenuhi pelbagai aspek secara menyeluruh.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1871