KKB USM BANTU RINGANKAN BEBAN GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN UNTUK SAMBUT AIDILFITRI
PULAU PINANG, 27 Jun 2016 - Kelab Kakitangan Bendahari (KKB) Universiti Sains Malaysia (USM) terus berusaha meringankan beban golongan asnaf dengan memberi sumbangan kepada 10 keluarga golongan ini bertempat di Kampung Pokok Machang Tasek Gelugor kelmarin.
Menurut Bendahari USM, Dr. Rohayati Mohd Isa, dengan pemberian sumbangan ini, diharapkan ianya dapat membantu para penerima dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada AJK dan ahli KKB yang telah menjayakan program ini,” jelasnya yang juga merupakan Penaung KKB.
Bagi Pengerusi KKB, Norzaidi Bulat pula, sumbangan yang diberikan adalah hasil daripada sumbangan staf Jabatan Bendahari yang dikumpulkan selama 2 minggu dan beliau berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga asnaf yang memerlukan bantuan untuk persiapan sempena Aidilfitri.
Setiausaha KKB, Kasma Azura Kamal pula menzahirkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang dalam mendekatkan pihak universiti dengan golongan ini dan program sebegini telah memberi kesan yang positif serta telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Rombongan wakil KKB terdiri daripada 11 staf dan sumbangan yang diberikan adalah berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, susu pekat dan sedikit wang tunai.
Sementara itu, pada hari yang sama juga berlangsung Program Amal Iftar bersama pelajar tahfiz Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang di Tasek Gelugor yang melibatkan pelajar tahfiz seramai 24 orang bersama KKB USM.
Antara pengisian program adalah ucapan Bendahari USM, tazkirah oleh mudir bertajuk “Peringatan 10 malam terakhir”, sumbangan duit raya kepada pelajar tahfiz dan pusat pengajian, solat maghrib berjemaah, iftar, solat isyak, terawih dan witir.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: KKB USM
- Created on .
- Hits: 1168